Permohonan Tommy Thomas supaya Roz Mawar tarik diri didengar 6 November

 

Oleh – Syeikh Baran


Permohonan Tommy Thomas supaya Roz Mawar tarik diri didengar 6 November



Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 6 November ini untuk mendengar permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas supaya Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar saman yang difailkan oleh Tan Sri Shahrir Ab Samad terhadap beliau dan tiga lagi berhubung pendakwaan berniat jahat.

Peguam Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili Shahrir berkata, tarikh itu ditetapkan oleh JC Roz Mawar pada prosiding kes berkenaan yang berlangsung secara dalam talian pada Rabu.

“Permohonan itu akan didengar secara fizikal pada jam 8.30 pagi,” kata peguam itu ketika dihubungi.

Prosiding dalam talian itu turut disertai peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Tommy manakala Peguam Persekutuan Syafiq Affandy Hassan mewakili bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan selaku defendan.



Thomas yang memfailkan permohonan itu pada 26 Ogos lepas mendakwa Roz Mawar telah membuat banyak dapatan tidak berasas serta bercanggah dengan tuntutan saman itu dan keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah.

Beliau mendakwa Roz Mawar telah menentukan terlebih dahulu keputusan saman plaintif (Shahrir) terhadap Thomas dan beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil sekiranya Roz Mawar mendengar kes saman berkenaan.

Pada 3 Julai lepas, Roz Mawar menolak permohonan Thomas untuk membatalkan saman itu dan kes ditetapkan bagi pendengaran penuh selama tujuh hari iaitu dari 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Saman yang difailkan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu pada Disember tahun lepas adalah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima Shahrir daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.



Thomas yang menjadi Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020 dalam afidavitnya telah menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa dan menyifatkan ia sebagai “tidak boleh dipertahan.”

Beliau berkata, budi bicara sama ada untuk mendakwa hanya boleh dilaksanakan selepas Pendakwa Raya menerima kertas siasatan daripada agensi penyiasat seperti SPRM.

Thomas berkata, beliau telah meletak jawatan pada 28 Februari 2020, dan pada 26 Julai 2022 perbicaraan jenayah Shahrir bagi pertuduhan itu bermula.

Pada 5 Januari 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri selepas pendakwaan memaklumkan bahawa ia tidak berhasrat untuk meneruskan kes itu. – Bernama



Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button