Polis masih kesan wanita kes penemuan mayat bayi disimen
Oleh – Syeikh Baran
Polis masih berusaha mengesan wanita warga Indonesia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat bayi yang ditemui disimen di parkir sebuah rumah di Taman Sri Rokam, Ipoh, pada 28 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata sehingga kini pihaknya masih belum mengenal pasti sama ada wanita tersebut masih berada dalam negara atau sudah meninggalkan Malaysia.
“Justeru, pendekatan siasatan kita masih menggunakan kedua-dua situasi tersebut (masih berada dalam negara atau telah keluar negara),” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Manjung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di sini hari ini.
Pada majlis itu, bekas Ketua Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman, 45, dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Manjung yang baharu menggantikan Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah.
Mohamed Nordin, 59, pula dilantik menjadi Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah, Keselamatan Komuniti dan Perancangan Strategik IPK Pulau Pinang
Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat bayi yang berusia tujuh bulan ditemui ditanam di bawah lantai simen di parkir sebuah rumah di Ipoh.
Ia ditemui oleh seorang lelaki warga tempatan yang sedang membuat kerja baik pulih di rumah tersebut dengan penghuni terakhir rumah itu adalah seorang wanita warga Indonesia.
Sumber – KOSMO! ONLINE