Ayam masak merah disyaki punca 60 pelajar MRSM keracunan
IPOH: Masakan ayam masak merah di dewan makan yang sudah berbau disyaki penyebab 60 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gerik, di Gerik, terpaksa menerima rawatan apabila mengalami keracunan makanan sejak Isnin lalu.
Pelajar terbabit didapati mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, muntah, dan sakit kepala sebelum kesemua mereka dirawat sebagai pesakit luar oleh pasukan perubatan mobil dengan tiada antara mereka dirujuk ke hospital.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan, berkata kejadian keracunan makanan itu dinotifikasi kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak oleh warden bertugas kira-kira jam 11.30 pagi Isnin lalu sebelum notifikasi berkaitan kejadian diterima oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Negeri Perak jam 11.38 pagi semalam.
Sivanesan berkata, verifikasi dan siasatan awal yang dibuat oleh PKD Hulu Perak mendapati seramai 60 pelajar terdiri dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 bergejala.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati menu ayam masak merah yang dimakan ketika berbuka puasa pada
Ahad lalu, disyaki penyebab kepada insiden keracunan terbabit.
“Temubual dengan pelajar mendapati masakan ayam itu sudah berbau semasa dimakan, justeru disyaki bahawa ayam mentah sudah rosak sebelum dimasak memandangkan baunya tidak menyenangkan.
“Onset terawal dilaporkan pada jam 8 malam, hari yang sama (Ahad) dan onset terakhir adalah pada jam 7 pagi keesokannya,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, 10 sampel klinikal sudah diambil dari dapur dewan makan asrama terbabit bagi dianalisa, selain arahan penutupan selama tiga hari dikeluarkan terhadap pengurusan dewan makan berkenaan mengikut Akta Makanan 1983 bagi tujuan pembersihan.
Pada Januari 2018, media melaporkan seramai 34 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gerik, terpaksa menerima rawatan apabila dipercayai mengalami keracunan makanan.
Kata Sivanesan lagi, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap isu keracunan makanan membabitkan pengusaha yang melakukan kesalahan berulang.
“Saya pernah beri amaran kepada sebuah MRSM lain di negeri ini yang juga berlaku isu keracunan makanan sewaktu menjawat sebagai Exco kerajaan negeri pada tahun 2018, di mana jika kesalahan berulang maka kontrak pengusaha
itu akan dibatalkan serta-merta.
“Ya, bukan kuasa saya (membatalkan kontrak) tetapi saya sebagai Exco, akan minta Jabatan Pendidikan untuk ambil tindakan segera bagi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Tiga hari penutupan sahaja tidak cukup. Jadi saya akan melawat MRSM Gerik dalam dua ke tiga hari ini kemudian akan bentangkan dalam mesyuarat Exco dan minta (pandangan) apa tindakan bersesuaian,” katanya.
BHOnline