Guan Eng berjaya dapat laporan forensik bagi pembelaannya

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berjaya dalam permohonannya mendapatkan laporan analisa forensik mengandungi perbualan WhatsApp berhubung wang RM2 juta yang dikatakan diterimanya melalui baucar pembayaran dan cek.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan permohonan Guan Eng selepas berpuas hati terdapat dua versi keterangan berbeza di dua mahkamah berhubung tujuan penyerahan dan kepada siapa wang diserahkan membabitkan pembayaran baucar dan cek sama.

Azura dalam penghakiman berkata, berdasarkan nota prosiding dan penyataan bertulis saksi kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Guan Eng berjaya menunjukkan wujud fakta bahawa baucar dan cek digunakan untuk mengeluarkan wang itu yang dikatakan diserahkan kepada ahli perniagaan, G Gnanaraja.



Beliau berkata, dalam kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pula, keterangan menunjukkan baucar dan cek sama dikemukakan dan ditanda sebagai eksibit yang mana wang RM2 juta itu dikatakan diserahkan kepada Guan Eng.

Katanya, keterangan juga menunjukkan terdapat perbincangan berhubung wang itu melalui perbualan WhatsApp antara Pengarah Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli Gananaraja.

“Terdapat laporan analisa forensik disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan perbualan WhatsApp berkenaan.

“Dalam kes di mahkamah ini, laporan analisa forensik digital itu dikemukakan, manakala laporan sama di mahkamah Shah Alam dan yang dimohon melalui permohonan ini tidak pernah dikemukakan kepada mahkamah.



“Berikutan itu, mahkamah berpuas hati terdapat dua versi keterangan berbeza di dua mahkamah berhubung tujuan penyerahan dan kepada siapa diserahkan wang RM2 juta membabitkan baucar pembayaran serta cek sama.

“Mahkamah mendapati perkara itu satu isu yang relevan seperti termaktub dalam Seksyen 5 dan 11 Akta Keterangan 1950. Jadi, fakta menyeluruh harus dibentangkan dan dikemukakan kepada mahkamah ini supaya kebenaran dapat diketahui,” katanya.

Azura berkata, Guan Eng perlu mendapatkan laporan analisa forensik itu di mahkamah Shah Alam bagi menyediakan pembelaan yang adil.

Beliau berkata, mahkamah bersetuju dan mendapati prinsip kesamarataan dan perbicaraan adil seperti termaktub dalam Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan hanya dapat dicapai dengan membenarkan permohonan terbabit.



“Berikutan itu, pemohon berjaya menunjukkan kepada mahkamah kenapa laporan analisa forensik itu perlu dan penting kepada kes pembelaan dan permohonan mengikut Seksyen 51 Kanun Acara Jenayah harus dibenarkan,” katanya.

Guan Eng, 63, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, di Tingkat 28, Komtar, Georgetown antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu, dan kesalahan itu dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.



BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading