Kes Menara KL : Pengarah syarikat didakwa tawar rasuah RM500,000 setahun

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat dan pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan hari ini atas dua pertuduhan termasuk menawar rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada seorang ahli perniagaan bagi faedah Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa.

Ia bertujuan mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Bagaimanapun, Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Suzana Hussain dan Rozina Ayob.



Mengikut pertuduhan, Hydroshoppe Sdn Bhd melakukan kesalahan kerana seseorang yang bersekutu dengannya iaitu Abdul Hamid Shaikh secara rasuah menawarkan wang RM500,000 setahun selama tempoh itu kepada Datuk Tan Ser Lay, 60, bagi faedah Annuar dengan niat untuk memperoleh perniagaan iaitu pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.

Oleh demikian, syarikat itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta mengikut mana yang lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Abdul Hamid pula berhadapan tuduhan menawarkan kepada individu sama suatu suapan iaitu RM500,000 dalam tempoh sama sebagai dorongan kepada bekas menteri itu melakukan suatu perkara dicadangkan iaitu mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe Sdn Bhd.



Pendakwaan mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Lot 4G9, Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara Julai dan Ogos 2022.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap pengarah itu atas dua tuduhan berkenaan.

“Syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap dua bulan.



“Jaminan dan syarat berkenaan dipersetujui kedua-dua pihak. Kami mohon tarikh sebutan seterusnya pada 2 Jun ini untuk penyerahan dokumen dan permohonan untuk kedua-dua pertuduhan dibicarakan secara bersama pada tarikh akan datang,” katanya.

Peguam bela tertuduh, Shu Ivu, mengesahkan persetujuan jaminan dan syarat tambahan berkenaan.

“Kami baru saja dapat kertas pertuduhan pagi ini, kena kaji dahulu tuduhan sebelum membuat keputusan untuk bantah atau tidak perbicaraan secara bersama,” katanya.

Kedua-dua hakim membenarkan jaminan dan syarat seperti dicadangkan tertuduh sebelum menetapkan 2 Jun ini untuk sebutan semula kes.



Pada 23 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan kes pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara KL selesai dijalankan serta kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Pada 7 Januari lalu, dua pengarah kanan syarikat bergelar Datuk direman empat hari bagi membantu siasatan kes pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara KL.

Perintah reman terhadap individu masing-masing berusia 49 dan 59 tahun itu dikeluarkan Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas permohonan dikemukakan SPRM.

Penahanan itu membabitkan seorang pengarah urusan syarikat didakwa terbabit mengambil alih saham Syarikat Menara KL, manakala seorang lagi ialah ahli perniagaan dipercayai menjadi ‘orang tengah’ dalam urusan pengambilalihan syarikat berkenaan.



Hasil siasatan mendapati antara habuan ialah wang rasuah ratusan ribu ringgit dan seutas jam tangan mewah, dikatakan sebagai hadiah kepada ‘orang atasan’ untuk membantu pengambilalihan itu.Beberapa saksi termasuk pegawai kanan Telekom Malaysia (TM), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Digital serta syarikat tertentu sudah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular dalam media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan TM menerusi anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd, Oktober lalu.

Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

BHOnline



 


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading