Anggota JSJN jangan bersekongkol dengan penjenayah – Ayob Khan

Kuala Lumpur: Pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) diingatkan supaya tidak bersekongkol dengan sindiket dadah dan jenayah.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menekankan isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

“Isu integriti ini adalah tidak terbabit dengan sindiket dadah, sebarang pelakuan jenayah serta lain-lain aktiviti yang boleh mencemarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).



“Ketua jabatan diingatkan untuk meningkatkan penyeliaan kepada semua pegawai dan anggota di bawah seliaan masing-masing,” katanya dipetik menerusi Facebook rasmi JSJN, semalam.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil dan tidak bertoleransi dengan mereka yang terbabit dengan salah laku semasa atau di luar penugasan.

Di akhir amanatnya kepada Ketua JSJN Negeri secara telesidang, baru-baru ini, Ayob Khan menitipkan ucapan supaya semua ketua jabatan terus komited dan ikhlas menjalankan tugas diamanahkan.

“Semoga JSJN terus cemerlang dalam membanteras dadah musuh nombor satu negara,” katanya.



Majlis yang berlangsung di Bukit Aman itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.

Terdahulu, Ayob Khan diumumkan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 16 April nanti.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button