Tikam isteri 21 kali

Bangkok: Kejam apabila seorang lelaki menikam isterinya sebanyak 21 kali hingga maut di wilayah Lopburi, tengah Thailand, sebelum cuba membunuh diri dengan memandu trak pikap Chevrolet miliknya ke dalam Sungai Chao Phraya di wilayah Phra Nakhon Sri Ayutthaya, semalam.

Portal Thaiger melaporkan, cubaan lelaki itu bagaimanapun tidak berjaya apabila diselamatkan oleh salah seorang saudaranya yang kebetulan memancing di tebing sungai.

Terdahulu, pegawai di Balai Polis Ban Kum dimaklumkan seorang wanita maut ditikam di sebuah rumah di mukim Ngio Rai daerah Mueang Lopburi.



Di tingkat atas rumah itu, polis menemui mayat Yuwadee Phakhai, 30, dengan kesan tikaman, terbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah.

Di tangga, polis menemui sebilah pisau bengkok berdarah.

Adik perempuan Yuwadee yang berusia 18 tahun, Achariya Phakhai memberi keterangan kepada polis bahawa dia mendengar kakaknya menjerit beberapa kali pada 8 pagi sebelum terdiam.

Achariya berkata, dia berada di dalam bilik air ketika kejadian, dan keluar untuk melihat suami kakaknya, Anupong Saengngaongam, 30, berlari menuruni tangga.



Menurut Achariya, abang iparnya kemudian melarikan diri dengan trak pikap Chevrolet merah, disyaki menuju ke Ayutthaya di mana lelaki itu mempunyai saudara-mara.

Polis menghubungi pegawai di Balai Polis Chang Yai di daerah Bang Sai di wilayah Phra Nakhon Si Ayutthaya untuk meminta mereka menjejaki trak pikap Anupong.

Kemudian, Unit Penyelamat Ayutthaya dimaklumkan bahawa sebuah trak pikap dipandu ke dalam sungai berhampiran Wat Pho Taeng Tai di daerah Bang Sai.

Apabila pekerja penyelamat tiba, tiada pemandu ditemukan di dalam kereta.



Seorang saksi iaitu saudara Anupong memandu bot untuk menyelamatkan Anupong dari kenderaan yang karam.

Polis segera menahan Anupong yang kemudian mengaku membunuh isterinya serta cuba membunuh diri dengan memandu ke dalam sungai.

Sementara itu, ibu mentua Anupong, Sunanta Phakhai berkata, pasangan itu sering bertengkar sejak kebelakangan ini kerana sikap cemburu menantunya.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button