Koulibaly terharu EPL beri peluang berbuka puasa
London: Bintang Chelsea beragama Islam, Kalidou Koulibaly memuji keprihatinan Liga Perdana Inggeris (EPL) terhadap pemain Islam yang berpuasa di bulan Ramadan, terutamanya keputusan untuk menghentikan perlawanan bagi membolehkan mereka berbuka puasa.
Sejak awal Ramadan, beberapa perlawanan liga Inggeris dihentikan pada pertengahan separuh masa pertama, sejurus selepas matahari terbenam bagi membolehkan pemain yang berpuasa menjamah makanan dan minuman.
Beraksi menentang Liverpool minggu lalu, Koulibaly, Wesley Fofana dan N’Golo Kante berpeluang untuk kembali bertenaga pada waktu Maghrib.
“Semasa Ramadan, rakan sepasukan melihat kami bersolat dan bertanya apa yang kami lakukan,” kata pertahanan antarabangsa Senegal itu kepada The BBC.
“Kebanyakan mereka berfikir Ramadan adalah hanya mengenai tidak makan atau minum, tetapi ia lebih daripada itu.
“Ia mengenai memahami apa yang kita baca dalam al-Quran, mendalami agama, mejaga tingkah laku kita dan menghayati ajaran Nabi Muhammad juga.
“Kami perlu menjelaskannya kepada mereka, jadi apabila seseorang bertanya, kami boleh memberi jawapan.”
“Apabila anda hadir ke sini dan melihat mereka menghentikan permainan untuk orang Islam mengisi perut seketika, ia sangat mengagumkan.
“Ia tidak pernah berlaku kepada saya, jadi itulah sebabnya saya dapat rasakan perasaan luar biasa. Saya melihatnya di televisyen ketika Wesley berada di Leicester berbuka puasa semasa berlangsungnya perlawanan, ia sangat mengagumkan,” katanya.
Agensi