Syamsul mahu Puteri Sarah berhenti berdendam

Kuala Lumpur : Di penghujung Ramadan ini, nampaknya ‘perang’ Syamsul Yusof, 39, dengan isterinya, Puteri Sarah Liyana, 38, di media sosial terus hangat.

Bermula dengan proses lafaz cerai yang tidak menjadi nyata Selasa lalu, pasangan ini terus berbalas dakwaan dan penafian di Instagram masing-masing.

Terbaharu, Syamsul meminta Puteri Sarah yang juga isteri pertamanya menerima takdir dia sudah berkahwin lagi satu dan berhenti berdendam sehingga ke tahap yang boleh memakan diri dan masa depan anak-anak mereka.



Menerusi hantaran di Instagram, Syamsul berkata, apa yang ditulisnya itu bukan untuk mendapat sokongan netizen kerana cukup buatnya Allah yang tahu.

Katanya, dia cuma tidak mahu terus menjadi fitnah masyarakat.

Syamsul berkata, dia hairan kenapa Puteri Sarah tiba-tiba seperti baru tahu kandungan permohonan nusyuz itu sedangkan dia menerimanya sudah lama.

“Allah, Sara dah dapat / baca surat nusyuz itu dah lama, masa proses JKP (Jawatan Kuasa Pendamai) dulu lagi. Jadi, kenapa tiba-tiba ‘act’ (berlakon) ketawa sekarang?” katanya.



Syamsul mendakwa Puteri Sarah menyimpan fail permohonan nusyuz itu dalam jangka masa yang lama sebelum diberikan kepada peguamnya.

“Satu lagi, kalau kelakar kenapa bersungguh sangat nak saya tarik nusyuz hari tu ya masa kita berjumpa? Banyak kali saya ajak berjumpa sebelum ini berbincang dengan baik, tapi dia yang tak mahu. Hanya selepas saya fail nusyuz, barulah dia akhirnya mahu berjumpa suami. Kenapa?” katanya.

Syamsul mendakwa Puteri Sarah bimbang dengan permohonan nusyuz itu kerana di dalamnya ada bukti Puteri Sarah menjalin hubungan dengan suami orang sejak awal perkahwinan mereka.

“Jadi, habislah imej ‘isteri teraniaya’ yang kamu tunjukkan pada umum selama ini. Itu yang kamu risaukan.



Tidak cukup dengan itu, sekarang pun kamu dah mengaku ada hubungan dengan lelaki lain, sedangkan kamu masih bersuami. Kamu sendiri yang beritahu saya hari itu masa kita berjumpa. Siap cakap, ‘jangan bagitau (bertahu) orang okey,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Syamsul turut menjelaskan mengenai tuntutan nafkah ditetapkan Puteri Sarah.

Katanya, ketika mereka berjumpa baru-baru ini, Puteri Sarah meminta bayaran purata RM10,000 sebulan dan aset wang ringgit RM400,000.

“Kamu sendiri yang letak dan suamimu setuju semuanya!. Siap kata, ‘jangan bagitahu orang yang saya minta ini sebab saya tahu ia jumlah yang tinggi. Suami kamu setuju saja dengan permintaan itu walaupun di media sosial kamu canang, ‘aku tak harap harta suami’. Jadi, sebab itulah semua orang nampak kami gembira di mahkamah hari tu semua orang nampak sebab dua-dua dah setuju. Kami sama-sama ‘happy’,” katanya.



Malangnya menurut Syamsul, beberapa hari kemudian Puteri Sarah tiba-tiba menukar perjanjian itu menambah permintaan dengan aset jutaan Ringgit pula.

Syamsul berkata, dia terkejut kerana dia pula dituduh menukar perjanjian asal dan meminta diskaun untuk nafkah anak.

“Ini bukan soal minta diskaun, saya cuma kata kenapa tak ikut perjanjian asal malam tu,” tulisnya.

Dalam pada itu, Syamsul turut menasihati Puteri Sarah supaya tidak berpura-pura di hadapan media dan netizen untuk meraih simpati masyarakat. Ini termasuk menggunakan anak-anak dan ibu bapa mentuanya.



Syamsul berkata, perkara itu boleh diselesaikan secara baik, tetapi Puteri Sarah memilih sebaliknya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button