Singapura gantung banduan bawa lebih 1 kg ganja

SINGAPURA: Kerajaan Singapura ditegur kerana tidak menghiraukan gesaan antarabangsa untuk memansuhkan hukuman mati apabila seorang banduan disabitkan dengan konspirasi menyeludup satu kilogram (kg) ganja dihukum gantung hari ini.

Pelaksanaan hukuman mati itu tetap diteruskan walaupun terdapat rayuan oleh Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHR) meminta Singapura pertimbangkan semula hukuman gantung itu dan gesaan oleh hartawan Britain, Richard Branson, untuk menghentikannya.

Menurut jurucakap Perkhidmatan Penjara Singapura, banduan dikenali Tangaraju Suppiah, 46, menjalani hukuman mati hari ini di Kompleks Penjara Changi.



Tangaraju disabitkan pada 2017 kerana bersubahat susulan terbabit dalam konspirasi untuk mengedar 1,017.9 gram ganja, dua kali ganda jumlah minimum yang diperlukan untuk hukuman mati di Singapura.

Dia dijatuhi hukuman mati pada 2018 dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu.

Sementara itu, Branson, ahli Suruhanjaya Global Dasar Dadah yang berpangkalan di Geneva, menulis di blognya bertajuk ‘Mengapa Tangaraju Suppiah Tidak Layak Untuk Mati’, mendakwa tiada dadah bersama Tangaraju ketika penahanannya dan Singapura mungkin akan membunuh seorang lelaki yang tidak bersalah.

Bagaimanapun, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), berkata kesalahan Tangaraju sudah dibuktikan tanpa keraguan munasabah.



Kementerian itu berkata, dua nombor telefon bimbit, yang menurut pendakwa raya adalah miliknya, turut digunakan untuk menyelaraskan penghantaran dadah itu.

Susulan campur tangan Branson, MHA mendapati beliau tidak hormat kepada sistem kehakiman Singapura dengan membuat dakwaan mengenai kes mahkamah yang membabitkan pengedar dadah.

“Amat menyedihkan bahawa Branson, seolah-olah lebih tahu berbanding mahkamah Singapura, yang sudah memeriksa kes itu dengan teliti dan menyeluruh dalam tempoh lebih tiga tahun.

“Beliau menunjukkan rasa tidak hormat kepada hakim di Singapura dan sistem keadilan jenayah kita dengan dakwaan sedemikian,” menurut MHA.



MHA berkata, Branson mendakwa bahawa sabitan Tangaraju tidak memenuhi piawaian untuk sabitan jenayah dan ‘Singapura mungkin akan membunuh seorang lelaki yang tidak bersalah’ adalah jelas tidak benar.

“Akta Penyalahgunaan Dadah memperuntukkan hukuman mati jika jumlah ganja melebihi 500 gram dan jumlah yang disabitkan dengan Tangaraju adalah lebih dua kali ganda jumlah bagi hukuman itu.

“Ini sudah memadai untuk menampung ketagihan kira-kira 150 pengguna dadah selama seminggu.

“Kes Tangaraju sudah dibicarakan di hadapan Mahkamah Tinggi dan mendapati bukti mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa pertuduhan terhadapnya dibuktikan tanpa keraguan munasabah,” kata MHA.



Selain itu, MHA berkata, cadangan bahawa Tangaraju ‘tidak berada di mana-mana berhampiran dadah pada masa ditangkap’, jelas menunjukkan bahawa dia adalah orang yang menyelaras penghantaran dadah, untuk tujuan pengedaran.

Malah, nombor telefon Tangaraju juga digunakan untuk berkomunikasi dengan dua orang lain yang terbabit dalam penghantaran ganja itu, walaupun dia menafikannya.

Kementerian itu menegaskan Tangaraju diwakili peguam bela sepanjang prosiding, termasuk semasa rayuannya.

Sementara itu, dilaporkan ini bukan kali pertama Branson mengkritik pendirian Singapura terhadap hukuman mati.



Pada Oktober 2022, beliau menolak jemputan untuk menyertai perbahasan langsung di televisyen dengan Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, berhubung hukuman mati.

MHA berkata, walaupun penjelasan sebelum ini dan beberapa kali dibuat, Branson terus membuat penegasan menyeluruh terhadap pendekatan Singapura terhadap dadah, termasuk penggunaan hukuman mati ke atas mereka yang mengedar sejumlah besar.

Kenyataan Branson bahawa pihak berkuasa Singapura berulang kali gagal memberikan sebarang bukti nyata bagi pencegahan berkesan jenayah berkaitan dadah adalah tidak benar.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button