Man City lanyak Arsenal
Manchester, United Kingdom: Manchester City semakin hampir mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dua jaringan Kevin De Bruyne membantu pasukannya menewaskan pendahulu Arsenal 4-1, awal pagi tadi.
Arsenal mendahului dua mata di puncak liga tetapi City mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan, bermakna skuad Pep Guardiola boleh tewas salah satu daripada baki tujuh perlawanan tetapi tetap bergelar juara kali kelima dalam enam musim.
“Ia belum muktamad tetapi sangat penting menewaskan pencabar utama,” kata Guardiola. “Paling penting juga ialah semuanya kini dalam tangan kami.”
Gunners hilang cengkaman dalam misi menjuarai liga kali pertama dalam tempoh 19 tahun sebelum kunjungan ke Etihad dan kini skuad Mikel Arteta gagal menang empat aksi terakhir.
Tetapi buat kali pertama musim ini mereka tewas dalam segala aspek kepada City dengan De Bruyne yang menjadi pemusnah menjaringkan gol pendahuluan minit ketujuh menerusi rembatan rendah selepas mendapat hantaran Erling Haaland.
John Stones menanduk masuk gol kedua sejurus sebelum tamat babak pertama hasil sepakan percuma De Bruyne sebelum bintang Belgium itu melebarkan kedudukan dengan penyudah berbisa minit ke-54 manakala Haaland melengkapkan malam derita Arsenal dengan tolakan jarak dekat pada minit kecederaan untuk gol ke-49nya dalam semua kejohanan musim ini.
Dia turut mencipta rekod baharu EPL dengan meledak 33 jaringan dalam 38 perlawanan mengatasi pencapaian pemain Liverpool Mohamed Salah yang menjaringkan 32 gol pada musim 2017/18.
“Analisis adalah jelas, pasukan lebih baik menang perlawanan,” kata Arteta. “Mereka pada tahap terbaik terutama babak pertama, kami pula langsung tidak berada tahap sepatutnya.
“Apabila ia berlaku, jurangnya terlalu besar. Kami dihukum malah mungkin lebih teruk lagi.”
Skuad Arteta pula kini melepaskan 11 gol dalam empat aksi terakhir dan berdepan cabaran getir meningkatkan semula motivasi mereka bagi mengharungi baki perlawanan sambil mengharapkan keajaiban boleh berlaku.
AFP