‘MB Selangor tolonglah kampung kami!’

Shah Alam: Seramai 12 keluarga peneroka yang tinggal di Kampung Koskan Tambahan, Serendah, sejak kira-kira 40 tahun lalu melahirkan rasa kecewa dan terkejut apabila menerima notis pengosongan dari Mahkamah Tinggi Shah Alam sehari sebelum dan pada pagi Aidilfitri lalu.

Lebih mengecewakan, walaupun notis berkenaan bertarikh 18 April 2023, namun 12 keluarga berkenaan mendakwa menerimanya di saat umat Islam hendak meraikan sambutan Aidilfitri.

Menurut notis berkenaan, mereka diarahkan mengosongkan kawasan itu pada 2 Mei depan memandangkan tanah sudah menjadi hak milik sebuah syarikat pemaju yang didakwa akan membangunkan projek perumahan termasuk Rumah Selangorku serta loji kumbahan berhampiran sungai.



Setiausaha Badan Bertindak Kampung Koskan Tambahan, Maszahar Hashim, 59, berkata, kampung berkenaan diteroka oleh ibu bapa mereka pada 1980-an bagi tujuan pertanian dan penternakan seterusnya membina penempatan di situ.

“Pada 2006 hingga 2007, penduduk memohon geran penempatan dengan sokongan Adun Batang Kali ketika itu (Mohd Isa Abu Kasim) namun ditolak atas alasan itu tanah rizab simpanan Sungai Serendah dan kawasan banjir.

“Pada 2008, kami buat permohonan lagi tetapi tiada jawapan, dan pada 2015, sekali lagi penduduk membuat permohonan namun permohonan yang selama ini yang ditolak atas alasan rizab sungai kini mempunyai pemilik iaitu pemaju tanah tanpa apa-apa penjelasan.

“Sejak itu kami menunggu dan terus menunggu tiada mana-mana pihak atau apa-apa maklumat diberikan kepada kami berhubung perkara ini.



“Sehinggalah Julai tahun lalu, pihak syarikat pemaju hadir dan menyatakan tanah itu tanah mereka dan memberi surat notis pengosongan kepada kami,” katanya ketika ditemui bersama penduduk di depan pintu utama SUK, di sini, hari ini.

Kehadiran mereka bagi menyerahkan memorandum berkaitan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang diterima oleh Penolong Setiausaha Bahagian Korporat SUK, Norbaini Zainuddin.

Maszahar berkata, terkini mereka menerima notis pengosongan disampaikan oleh wakil syarikat yang diberikan hak milik tanah berkenaan pada pagi Aidilfitri dan ada juga menerima notis itu sehari sebelum Hari Raya.

“Penduduk kampung menerima notis pengosongan daripada Bailif dan diminta mengosongkan kampung sebelum 9 pagi pada 2 Mei depan, kalau kami tidak kosongkan, mereka akan kosongkan.



“Jadi kami cuba memohon menangguhkan pelaksanaan perintah ini, untuk mendapatkan permohonan kekal di kampung itu,” katanya.

Justeru itu katanya, tujuan penyerahan memorandum itu untuk meminta kerajaan negeri terutamanya Menteri Besar supaya campur tangan agar mereka tidak sendirian berdepan dengan syarikat itu.

“Jangan biarkan kami terus berdepan dengan tindakan undang-undang. Isu pokok di sini kalau tanah rizab penduduk tidak boleh duduk, kenapa syarikat boleh dapat?

“Isu ini boleh diselesaikan cara baik kerana hanya ada 12 keluarga saja, bukan dengan pengusiran secara paksa.



“Usaha akhir kami agar Menteri Besar campur tangan. Lagipun kami semua ini rakyat tempatan, anak Selangor…kalau ikutkan kami hendak tinggal di sini tetapi kalau itu tidak boleh…jangan roboh sekarang, bagi penempatan semula apabila sudah siap baru pindahkan kami,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button