2025 Beg plastik diharamkan sepenuhnya

Klang: Kerajaan mensasarkan tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara pada tahun 2025.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata setakat ini, pelaksanaan dibuat secara berfasa dari premis tetap sebelum beralih secara berperingkat kepada premis perniagaan termasuk warung atau peniaga gerai tepi jalan.

“Cuma cara pelaksanaan dan (kadar caj yang dikenakan serta kekerapan serahan kutipan) kita sudah berikan ruang pada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mereka (kerajaan negeri dan PBT) ada konteks tersendiri.



“Pendekatan kita bukan hanya denda (jika peniaga masih membekalkan beg plastik pada 2025) sebaliknya, ada insentif dalam menggalakkan peralihan berkenaan.

“Perincian mengenainya akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang selepas melancarkan beg kitar semula Madani dan kempen tanpa beg plastik di Wisma 99 Speed Mart di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah Urusan 99 Speed Mart Sdn Bhd, Lee Thiam Wah.



Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor, dan Negeri Sembilan adalah negeri yang ke hadapan dalam pelaksanaan kempen bebas beg plastik.

Katanya, kempen ini adalah satu daripada pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.

“Sampah plastik adalah satu masalah besar di negara ini malah Malaysia berada di antara 10 negara dunia yang berdepan masalah sampah plastik tidak terurus.

“Berdasarkan laporan World Wildlife Fund (WWF), anggaran penggunaan bungkusan plastik makanan sahaja di Malaysia mencecah 148,000 metrik tan, bagi tahun 2020.



“Ini bukan satu rekod yang harus dibanggakan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button