Shuib kahwin demi anak-anak

KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib, 39, mengakui keputusan mengahwini Watie Hanifiah, 35, pada 23 Jun depan demi kebaikan anak-anaknya.

Kata Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, dia lebih memilih perkara yang mampu membahagiakan anak-anaknya buat masa ini.

Justeru, katanya, dia berharap perkahwinan berkenaan akan berjalan lancar.



“Perkahwinan ini berbalik kepada niat. Saya niat untuk anak-anak dan keluarga sebab memikul tanggungjawab sebagai bapa bukan mudah.

“Saya tahu tugas bapa ini berat dan anak-anak saya masih kecil. Perkara ini tidak mudah bagi saya.

“Saya memilih untuk anak, kalau saya pilih diri sendiri, saya akan membujang.

“Saya ada tanggungjawab besar sebab arwah Siti Sarah Raissuddin mahu saya membesarkan anak-anak dengan cara dan jalan paling baik. Saya perlukan seseorang untuk bersama saya,” katanya kepada BH Online.



Shuib berkongsi perkara itu ketika ditemui di rumah terbuka Aidilfitri Indigital Music dan FYP Media, di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Shuib menjelaskan, dia sudah memikirkan segala kemungkinan termasuk memahamkan anak-anaknya sebelum meneruskan keputusan berkahwin dengan Watie atau nama sebenarnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah.

“Walaupun anak-anak masih kecil, tetapi mereka cepat dewasa. Setiap perkara yang dilakukan akan berbincang dengan keluarga dan anak-anak. Setiap keputusan, saya akan tanya mereka.

“Sudah pasti saya ada fahamkan anak-anak dan perkara ini adalah proses. Kali pertama saya ada berkawan dengan seseorang, saya beritahu mereka.



“Proses itu lama sampailah saya berani cakap yang saya mahu berkahwin.

“Disebabkan itu, saya cakap perbincangan ada. Setiap kali ada perkara penting saya akan beritahu mereka. Walaupun saya tidak tahu sedalam mana mereka faham, saya tetap akan beritahu,” katanya.

Shuib berkata, dia tetap perlu mendapatkan persetujuan anak-anak sebelum membulatkan tekad berkahwin.

“Alhamdulillah segala perkara negatif dan positif saya fikirkan sampailah keempat-empat anak positif. Seingat saya anak terakhir yang diberitahu adalah Uwais sebab dia sudah berusia 12 tahun dan makin dewasa.



“Dia adalah orang terakhir yang saya tunggu untuk bersetuju. Sampailah dia bersetuju barulah saya kata ini adalah masanya,” katanya.

Terdahulu, Shuib menamatkan teka-teki mengenai hubungannya dengan Watie yang juga usahawan apabila mendedahkan mereka memilih 23 Jun depan untuk bernikah.

Shuib kehilangan isteri yang juga penyanyi, Allahyarham Siti Sarah yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada 9 Ogos 2021.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan berusia setahun lima bulan.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button