Tiada kenaikan cukai tanah di Pahang bagi tempoh 5 tahun

Kuantan: Kerajaan Negeri Pahang memberi jaminan tiada kenaikan kadar cukai tanah di negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, justeru, bagi meningkatkan kutipan hasil tanah, kerajaan negeri akan memastikan hasil tanah dapat digandakan melalui kutipan hasil berulang.

“Contoh, kita ada kira-kira 740,000 hak milik tanah dan akan ditingkatkan sehingga satu juta hak milik yang bermakna, hasil tahunan akan meningkat.



“Begitu juga proses untuk menukar syarat, kita akan meningkatkan kecekapan kerana syarat tanah akan menambah syarat hak milik.

“Saya memberi jaminan di dewan yang mulia ini bahawa tidak ada cadangan untuk menaikkan cukai tanah dalam masa lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Chan Chun Kuang (PH-Semambu) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Chun Kuang ingin tahu perancangan kerajaan negeri dalam mempertingkat hasil dalam tempoh lima tahun tanpa menaikkan kadar cukai tanah.



Terdahulu, menjawab soalan Chun Kuang yang ingin mendapatkan perincian kutipan hasil kerajaan negeri tahun lalu, Wan Rosdy berkata, sejumlah RM1.288 bilion dikutip sepanjang 2022.

Katanya, daripada jumlah itu, RM754.8 juta kutipan hasil itu daripada tanah, hutan (RM134.18 juta) dan air (RM23.85 juta).

Lain-lain hasil antaranya duti hiburan, lesen dan permit berjumlah RM284.15 juta dan geran Persekutuan (RM91.02 juta).

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button