Zizi Suria FM meninggal dunia

Kuala Lumpur : Bekas penyampai radio Suria FM, Zizi, 42, meninggal dunia di Hospital Melaka, kira-kira jam 1.47 pagi, hari ini.

Berita pemergian Allahyarham Zizi atau nama sebenarnya, Ahmad Zuwairi Mohd Nor dikongsi birasnya, Muhammad Saffuan.

Muhammad Saffuan berkata, Zizi mengadu badannya penat, lalu meminta isterinya, Noor Hidayah Sabidi menyapukan minyak di bahagian kaki sebelum masuk ke bilik untuk berehat.



“Selepas menguruskan anak-anak, Noor Hidayah masuk ke dalam bilik kira-kira jam 11 malam dan cuba memanggil suaminya, namun tiada tindak balas.

“Noor Hidayah kemudian menghubungi talian kecemasan dan sewaktu pegawai perubatan tiba, mereka cuba memberi Resusitasi kardiopulmonari (CPR), tetapi masih tidak berjaya dan terus membawanya ke hospital.

“Pihak hospital kemudian mengesahkan Zizi meninggal dunia pada 1.47 pagi,” katanya.

Menurut Muhammad Saffuan, Zizi pernah dimasukkan ke hospital tahun lalu akibat lemah jantung dan air berlebihan dalam badan.



Allahyarham meninggalkan balu Noor Hidayah, 39, serta tiga cahaya mata, Irsyad Musyrif Billah, 6, Muhammad Muayyad Iyaaz Billah, 4, dan Airis Nur Billa, 2.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Katil, Melaka, hari ini.

Zizi mula berkhidmat di Suria FM pada 2008 dan pernah mengendalikan segmen Breakfast@Suria bersama Halim Othman dan Sharifah Shahirah sebelum bergandingan dengan Myra menerusi Menu Ceria Suria pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Allahyarham memulakan kerjayanya dalam bidang penyiaran radio di Xfresh FM dan kemudiannya beralih ke Era FM diikuti Suria FM.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button