Malaysian Tigress masih simpan senjata

PHNOM PENH: Skuad hoki wanita kebangsaan masih menyimpan beberapa variasi pukulan sudut penalti walaupun berjaya membelasah Kemboja 8-1 pada aksi sulung di pentas Sukan SEA 2023, semalam.

Justeru, permainan berbeza dijangka akan ditampilkan anak buah Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menjelang pertembungan dengan Singapura di Stadium Hoki Morodok Techo, esok.

Mohd Nasihin turut menuntut barisan pemainnya untuk meningkatkan lagi intensiti permainan serta tampil dengan lebih disiplin bagi aksi kedua peringkat round robin itu.



“Kejohanan baru bermula dan kami masih menyimpan beberapa variasi pukulan sudut penalti dan perlawanan menentang Kemboja kami lebih mengambil pendekatan untuk melakukan flik terus ke pintu gol.

“Ia menyaksikan penjaga gol serta pertahanan lawan dapat menyelamatkan beberapa percubaan pukulan sudut penalti kami,” katanya.

Kemenangan besar ke atas Kemboja membolehkan Malaysia berada dikedudukan teratas peringkat round robin, berkongsi tiga mata bersama Thailand yang terlebih dahulu menewaskan tuan rumah 5-1, kelmarin.

Mengulas mengenai aksi berdepan tuan rumah Kemboja, Mohd Nasihin menyifatkan kelekaan di bahagian pertahanan menyebabkan lawan dapat menjaringkan satu gol.



“Pemain sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk beraksi dalam keadaan cuaca panas serta bertemu dengan lawan yang membariskan ramai pemain naturalisasi dari India serta Pakistan.

“Pemain terlalu teruja untuk mencari gol dan sedikit kelekaan yang berlaku di bahagian pertahanan semasa pasukan lawan membuat serangan kilas menyebabkan kami melepaskan satu gol,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button