Kerani rugi lebih RM130,000, Kerana kerja sambilan

Teluk Intan: Hasrat ingin menambah pendapatan menerusi kerja sambilan dalam talian, namun kerani diperdaya hingga rugi lebih RM130,000.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa yang berusia 26 tahun membuat laporan berhubung perkara itu pada 12.25 tengah hari semalam.

Katanya, mangsa mendakwa menerima mesej daripada individu tidak dikenali di aplikasi WhatsApp ketika berada di rumahnya di Langkap di sini pada 26 April lalu.



“Pemilik nombor telefon memperkenalkan dirinya sebagai ‘Miss Rina’ dan menawarkan beberapa peluang pekerjaan yang didakwa membolehkan mangsa mendapat komisen.

“Mangsa yang berminat dimasukkan ke dalam satu kumpulan di Telegram. Tugasan pertama diberikan adalah mangsa perlu menaikkan populariti laman web syarikat dengan menekan pautan kongsi di Facebook dan menghantar tangkap layar sebagai bukti.

“Mangsa mendapat komisen sebanyak 10 peratus, sebelum suspek mengarahkannya membeli barangan di satu akaun Shopee, namun perlu memasukkan wang terlebih dahulu dan dijanjikan komisen 20 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, mangsa menurut arahan sehingga melakukan 13 transaksi pindahan wang dengan jumlah RM139,616.50 hingga 5 Mei lalu, sebelum curiga apabila diminta memasukkan lagi wang tambahan.



Katanya, menyedari ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ahmad Adnan berkata, pihaknya merekod peningkatan kes penipuan dengan modus operandi tawaran kerja sambilan pada tahun ini berbanding sebelumnya.

Menurutnya, tahun lalu lapan kes disiasat membabitkan kerugian RM133,207, manakala sejak 1 Januari lalu hingga semalam, sudah ada lapan kes direkod dengan jumlah kerugian RM267,729.42.

“Kebanyakan mangsa adalah golongan muda berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun yang kebanyakannya mencari pendapatan tambahan menerusi media sosial,” katanya yang menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan di laman sosial.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button