Sophia tak sorok teman lelaki lagi
KUALA LUMPUR: Pelakon sensasi, Sophia Albarakbah, 30, tidak pernah menyorok teman lelakinya yang mesra disapa Mr Doctor.
Kehadiran Sophia yang ditemani Mr Doctor pada majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 di Stesen Keretapi Kuala Lumpur tentunya mencuri perhatian ramai, apatah lagi, Mr Doctor mudah mesra dan ‘sporting’.
Sophia berkata, dia terbuka jika teman lelaki mahu menemaninya menghadiri mana-mana acara hiburan.
“Sebenarnya, saya serahkan kepada teman lelaki. Kalau selesa, dia boleh temani saya.
“Jika tidak, tak mengapa jika enggan ikut. Saya biarkan teman lelaki membuat keputusan,” katanya kepada BH Online.
Mengulas sama ada Mr Doctor bersedia berhadapan dengan orang ramai dan pada masa sama, terkena tempias populariti, Sophia berkata, dia tidak risau memandangkan teman lelakinya seorang yang tenang.
“Dia okay dan seorang yang tenang. Sepanjang kontroversi yang berlaku sebelum ini, teman lelaki kekal tenang. Dia lebih memikirkan soal pesakitnya daripada perkara lain,” katanya kepada BH Online.
Pelakon drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah itu berkata, dia tidak pernah menyangka namanya tersenarai dalam empat kategori dalam pencalonan awal ABPBH 35.
Justeru itu, Sophia berkata, dia menyambut khabar gembira itu dengan penuh kesyukuran, apatah lagi, ini kali kedua menembusi pencalonan awal ABPBH.
“Alhamdulillah, saya dicalonkan menerusi empat kategori iaitu BBNU Wanita Popular, Aktres Filem Popular, Aktres TV Popular dan Couple Drama Popular.
“Jujurnya saya tak sangka. Walaupun gembira, saya tidak meletakkan harapan tinggi.
“Sekiranya peminat rasa saya layak, undilah saya. Ini memandangkan nama lain yang dicalonkan juga hebat-hebat dan layak menang.
“Jadi, kita tengoklah macam mana sama ada saya boleh lolos ke kelompok Top 5 atau tidak,” katanya.
Dalam masa sama, Sophia berterima kasih atas sokongan peminat meskipun namanya terpalit dengan kontroversi, baru-baru ini.
Bertemakan Ekspresi Legasi Seni, ABPBH 35 yang dilancarkan di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, iaitu stesen kereta api ikonik milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Jalan Sultan Hishamuddin mengumumkan Fellera, iaitu pengeluar produk kesihatan wanita terkemuka Jelly Ajaib Bellrossa, sebagai penaja utama, semalam.
Majlis pelancaran bertemakan ‘Hipster’ dihadiri Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH dan Penaung ABPBH 35, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengasas Fellera, Sharifah Khyra Muhsin.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Program dan Penyiaran TV3, Siti Nurlisia Mohd Naszri, CEO Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin; Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thillinadan dan Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.
Magis malam kemuncak ABPBH 35 akan disiarkan secara langsung di saluran TV3 dan Strim Live HD di Tonton, termasuk YouTube TV3 dan BH dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 21 Julai depan.
BHOnline