Suami isteri maut jatuh bangunan hotel di Genting Highlands
BENTONG: Sepasang suami isteri ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan hotel di Genting Highlands, dekat sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 9.46 malam, 16 Mei lalu.
“Hasil siasatan awal dilakukan mendapati suami isteri berkenaan masing-masing berusia 37 tahun dari Taiping, Perak, datang ke Genting Highlands pada 11 Mei lalu dan mendaftar masuk di sebuah bilik di hotel berkenaan.
“Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel berkenaan mendapati bermula dari tarikh kedua-dua mangsa mendaftar sehingga tarikh kejadian didapati tiada sesiapa melainkan mereka keluar masuk bilik terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaiham berkata, pemeriksaan dilakukan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes terbabit.
“Berdasarkan hasil laporan bedah siasat dilakukan mendapati punca kematian lelaki terbabit adalah ‘massive hemothorex’ manakala isterinya pula disebabkan kecederaan parah di kepala.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu. Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 untuk tindakan lanjut,” katanya.
BHOnline