Hannah enggan mohon maaf,

KUALA LUMPUR: Walaupun kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja 2023 tidak menepati sasaran diletakkan namun ada ‘sinar’ yang boleh dilihat daripada sudut penyertaan 63 peratus atlet muda dalam kontinjen negara kali ini.

Seramai 427 daripada 674 atlet yang dibawa ke Phnom Penh ini adalah barisan pelapis muda negara dan mereka mampu menjelmakan 18 pingat emas, 27 perak dan 66 gangsa.

Ini menunjukkan penyertaan atlet muda pada kali ini amat memberangsangkan bagi masa depan negara apatah lagi 62 peratus daripada jumlah kontinjen adalah atlet yang membuat penampilan kali pertama dengan berupaya menjelmakan 12 emas, 20 perak dan 46 gangsa.



Justeru itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau tidak akan memohon maaf atas keputusan mengenengahkan atlet muda untuk edisi kali ini meskipun berdepan kritikan hebat peminat sukan tanah air atas kegagalan mencapai sasaran.

“Saya sudah katakan daripada hari pertama, orang yang komen seperti itu tidak mengikuti sidang media kita sebelum kita menghantar kontinjen lagi. Kita sudah katakan, daripada hari pertama kita tahu, kita hilang semua pingat ini kerana sukan itu tidak dipertandingkan.

“Kalau dinilai dari segi tak dapat 40 emas dan ranking negara pula, saya boleh katakan, kalau dapat 40 emas pun ranking (kedudukan pingat emas) tidak berubah,” kata Hannah dalam sidang media rangkuman prestasi kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023 bagi menjawab soalan wartawan mengenai apakah tindakannya bagi menjawab kritikan diterimanya selepas kegagalan kontinjen mencapai sasaran diletakkan.

“Kalau nak jawab, saya tak akan mohon maaf kerana membuat keputusan melaburkan (mengenengahkan barisan muda) atlet muda. Ini adalah keputusan terbaik untuk Malaysia.”



Kontinjen Malaysia gagal mencapai sasaran 40 emas ditetapkan apabila membawa pulang 34 emas selain 45 perak dan 96 gangsa sekali gus menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan.

Sebagai rekod, ia adalah pencapaian terburuk Malaysia di pentas Sukan SEA dan pungutan emas paling rendah dalam tempoh 20 tahun sejak 2003 di Hanoi, Vietnam.

Malah, ini adalah kali pertama kontinjen negara berada di kedudukan ketujuh selepas menghuni tangga keenam di Hanoi, Vietnam tahun lalu.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button