Mengaku letak ‘bahan khas’ dalam makanan
KUALA LUMPUR: Seorang pemilik restoran mendakwa mengaku menambah ‘bahan khas’ tidak bersih kepada makanan yang dihidangkan kepada pelanggan yang kurang ajar.
Perkongsian itu didedahkan oleh @Cikgu_Anep melalui hantaran Twitter yang mengandungi tangkap layar pengakuan pemilik restoran berkenaan yang tular semalam.
Pemilik restoran itu mendakwa bahawa individu yang bekerja di dalam industri perhotelan akan memahami maksud ‘bahan-bahan khas’
“Bilakah influencer ini akan melawat (pemilik) kedai makan Tom (sebuah restoran menghidangkan makanan barat)? Seorang sudah dihidangkan ‘bahan khas’ dalam makanan.
“Hanya kakitangan hotel sahaja yang tahu maksud Tom dengan ‘bahan khas’,” katanya.
Difahamkan pemilik restoran itu dikatakan membuat pengakuan tersebut berikutan ketidakpuasan hati terhadap seorang pempengaruh yang memberikan ulasan jujur mengenai hidangannya.
Seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Mira Hana memberi penerangan mengenai maksud ‘bahan-bahan khas’ ini, mendakwa mereka merujuk kepada bahan-bahan tidak elok yang sengaja ditambah ke dalam hidangan makanan oleh tukang masak.
“Istilah ‘bahan khas’ dalam konteks kakitangan hotel merujuk kepada makanan yang diludah atau dibatukkan.
“Banyak restoran mengamalkannya, jika mereka bertemu dengan pelanggan bermasalah, makanan mereka boleh dicemari dengan air liur, hingus, keratan kuku jari kaki dan tahi telinga.
“‘Pelanggan khas’ merujuk kepada pelanggan yang suka mendesak. ‘Bahan-bahan khas’ itu digunakan untuk memberi pengajaran kepada mereka.” katanya.
Rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut dengan pendedahan tersebut dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik restoran berkenaan.
“Restoran ini sentiasa seperti ini, mereka tidak boleh menangani kritikan. Setiap kali seseorang menegur dengan sopan, mereka segera menyerang mereka dengan memadam komen dan menyekat mereka di media sosial, kemudian mendakwa bahawa orang lain iri hati terhadap mereka.” kata @hazlianaazhar.
“Sebagai seseorang yang mempunyai latar belakang di dalam industri perhotelan, saya boleh mengesahkan bahawa ‘bahan khas’ merujuk kepada air liur.
“Dalam sesetengah kes, makanan mungkin disapu di atas lantai, ini sering dilakukan kepada pelanggan yang kasar dan kerap mengadu. Bagaimanapun, tidak semua hotel terbabit dalam amalan sedemikian.” kata pengguna lain.
“Sekiranya kejadian seperti itu berlaku, ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan, kerana pemilik restoran secara terbuka mengaku menambah ‘bahan khas’ ke dalam makanan,” kata pengguna Twitter @hafiyyahaya1.
BHOnline