Ketidakstabilan politik sebabkan atlet tidak dapat teruskan latihan – Hannah Yeoh
Kuala Lumpur: Seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan kerana tiada peruntukan khusus diberikan untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah program podium berikutan ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara selama empat tahun.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dalam tempoh empat tahun, berlaku tiga pertukaran menteri yang menyebabkan pertukaran bajet, fokus dan ahli lembaga pengarah.
Katanya, dalam butiran Bajet 2022 yang dibentangkan pada Oktober 2021, tidak ada dinyatakan peruntukkan diberikan untuk program Podium 2022 menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet ke arah temasya sukan utama bagi 2022 seperti Sukan SEA Vietnam, Sukan Birmingham dan Sukan ASEAN.
“Kesannya, 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan memandangkan tiada peruntukan khusus diberikan untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah program podium.
“Pada masa sama, MSN terpaksa mengagih dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet dan gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan untuk tidak menjejaskan prestasi atlet yang sedang dalam latihan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang meminta Yeoh menjelaskan kenyataannya bahawa ketidakstabilan politik punca pencapaian buruk di Sukan SEA.
Tambahnya, kementerian terpaksa mengambil inisiatif memohon kepada Kabinet untuk mendapatkan peruntukan program podium sebelum ia dipersetujui di bawah Rancangan Malaysia ke-12.
Ia membabitkan peruntukan keseluruhan RM240 juta dengan agihan RM60 juta setahun daripada 2022 hingga 2025.
“Dalam empat tahun ini, sementara kita sibuk di sini berpolitik, negara jiran kita sudah maju ke hadapan.
“Keadaan politik di Malaysia menjadi salah satu faktor, saya bukan kata semuanya adalah kerana ketidakstabilan politik, tetapi kita perlu memperakui dalam empat tahun lalu, selepas langkah Sheraton, banyak usaha yang dilakukan kerajaan pada masa itu terganggu dan itu adalah fakta,” katanya.
Sementara itu, Yeoh berkata, temasya Sukan SEA di Kemboja membabitkan 674 atlet dan secara rasminya, Malaysia meraih 34 emas, 45 perak iaitu lapan pingat tambahan dan 96 gangsa iaitu 32 pingat tambahan, melebihi sasaran serta menduduki tangga ketujuh keseluruhan.
Katanya, kontinjen negara meletakkan sasaran 141 pingat secara keseluruhan dan berjaya mengatasi sasaran berkenaan apabila memenangi 175 pingat keseluruhan.
“Kontinjen negara menyertai 41 peratus daripada keseluruhan acara dipertandingkan dan menetapkan sasaran 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa, yang kita tidak capai adalah emas, kekurangan enam.
“Negara tuan rumah mengambil keputusan untuk tidak mempertandingkan beberapa acara yang menjadi harapan 18 pingat emas kepada Malaysia,” katanya.
METRO