Halim Saad nafi disiasat SPRM

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad, menyangkal laporan media yang mendakwanya disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyeleweng sejumlah RM2.3 bilion.

Ia berkaitan pembelian saham syarikat tersenarai oleh sebuah konglomerat Malaysia pada 26 tahun lalu.

“SPRM tidak memanggil saya untuk disoal siasat mengenai isu itu,” kata bekas pengerusi eksekutif Renong Bhd itu kepada FMT.



Jumaat lalu, media melaporkan SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap seorang bekas menteri kanan dan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri berhubung dakwaan penyelewengan dana negara.

Laporan berkenaan yang memetik sumber menyatakan, SPRM mula menyiasat kedua-dua individu terbabit selepas nama mereka tersenarai dalam Pandora Papers, sebagai watak yang mempunyai kaitan dengan tempat berlindung cukai luar pesisir.

Halim yang sekarang ini berkecimpung dalam industri minyak dan gas (O&G) di luar negara, membidas laporan akhbar The Edge yang mengaitkan dirinya dalam pemerolehan saham bernilai RM2.3 bilion.

Dalam laporan The Edge sebelum ini, sumber SPRM dikatakan mengesahkan transaksi berkenaan membabitkan pembelian 32.6 peratus kepentingan atau 722.9 juta saham dalam Renong Bhd oleh United Engineers (M) Bhd (UEM) pada harga RM2.3 bilion pada November 1997, sewaktu krisis kewangan Asia.



The Edge juga bertindak menerbitkan semula tiga artikelnya mengenai pemerolehan saham Renong UEM dari November 1997 untuk ‘menyegarkan ingatan pembacanya’.

Mengulas lanjut laporan itu, Halim berkata artikel berkenaan mencetuskan spekulasi tidak berasas mengenainya selain menimbulkan pertikaian mengenai peranannya dalam pembelian saham Renong oleh UEM.

“Saya cabar mereka kemukakan bukti mengenai salah laku saya dalam urus niaga berkenaan,” katanya.

Halim adalah antara individu yang memainkan peranan penting dalam pengembangan empayar korporat Renong Bhd pada pertengahan 1980-an hingga 1990-an.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button