Pelantikan Azalina langkah bermakna dan positif untuk negara – Ahli Parlimen wanita PN

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Pelantikan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merupakan satu langkah bermakna dan positif untuk negara, khususnya dalam memperkasa peranan wanita di peringkat tertinggi terutama dalam urusan sebagai pembuat keputusan.

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang mewakili 12 Ahli Parlimen Wanita Perikatan Nasional (PN) berkata ahli Parlimen wanita dari PN melihat pelantikan itu tepat pada masanya, memandangkan beliau mempunyai latar belakang profesional sebagai seorang peguam.

“Bahkan beliau pernah mengendalikan urusan hal ehwal Parlimen sewaktu berkhidmat sebagai Pengerusi Kaukus Wanita Parlimen Malaysia,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.



Selain Zuraida, Ahli-ahli Parlimen wanita berkenaan ialah Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi); Datuk Seri Rina Mohd Harun (Titiwangsa); Datuk Seri Nancy Shukri (Batang Sadong); Datuk Dr Noraini Ahmad (Parit Sulong); dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah);

Turut sama Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang); Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar); Datuk Hanifah Hajar Taib (Mukah); Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort); Datuk Seri Rohani Abdul Karim (Batang Lupar); dan Rubiah Wang (Kota Samarahan).

Azalina dimasyhurkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam, selepas namanya dicadang Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang meletak jawatan pada hari sama.

Sementara itu, Zuraidah semasa mengulas sama ada beliau bersama 10 ahli PKR, yang bertindak keluar parti itu dan menyertai kerajaan PN bercadang menubuhkan satu parti baharu, bekas naib presiden PKR itu berkata sekarang bukan masa yang sesuai untuk menubuhkan satu parti politik baharu.



“Kerana sekurang-kurangnya atau selambat-lambatnya dalam masa tiga tahun (Pilihan Raya Umum)… Tiga tahun bukan satu masa praktikal untuk tubuhkan parti baharu untuk hadapi PRU,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Selain Zuraida, 10 lagi ahli PKR itu ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Mengenai kedudukan mereka di dalam Dewan Rakyat, Zuraida berkata mereka bersetuju untuk menggunakan parti Bersatu sebagai platform.

“Bagi tujuan strategik di Dewan Rakyat, kami dilabel di bawah Bersatu, namun secara tekniknya kami belum berhijrah ke Bersatu. Kami masih menunggu untuk membuat kajian lebih mendalam, bagaimana kami harus masuk ke Bersatu,” katanya dan menambah mereka menunggu Bersatu menamatkan Perhimpunan Agung dan pemilihan parti sebelum membuat keputusan muktamad.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button