Lelaki maut ditikam selepas berselisih faham dengan 2 rakan di kilang

Lelaki maut ditikam selepas berselisih faham dengan 2 rakan di kilang

Lelaki maut ditikam selepas berselisih faham dengan 2 rakan di kilang
Foto hiasan.

KAJANG: Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam dalam pergaduhan di sebuah kilang perabot di Sungai Lalang, Semenyih di sini, awal pagi semalam.

Kejadian dikatakan berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dengan rakan sekerja.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, mengesahkan kejadian itu susulan laporan diterima pihaknya daripada majikan mangsa pada jam 1.42 pagi.



“Sepasukan pegawai dan anggota polis dikejarkan ke lokasi, namun mangsa yang berusia 23 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kajang.

“Pemeriksaan menemukan luka tikaman pada bahagian kiri perut mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat,” katanya melalui kenyataan.

Berdasarkan soal siasat, katanya, saksi mendakwa ketika kejadian mangsa mabuk dan berlaku perselisihan faham sehingga dicederakan dua rakan sekerja yang kemudian melarikan diri selepas kejadian.

Bertindak atas maklumat, katanya, polis menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 24 dan 28 tahun di kawasan Sungai Buloh pada jam 12.35 tengah malam tadi.



“Susulan penahanan itu polis menemukan dua pisau di kawasan kilang berkenaan yang disyaki digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Keputusan bedah siasat juga mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pada abdomen akibat ditikam objek tajam sehingga kehilangan banyak darah,” katanya.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 10 November dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lelaki maut ditikam selepas berselisih faham dengan 2 rakan di kilang

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button