Inteam ke Lubnan laksana misi kemanusiaan
Oleh Pena Merah
Dalam kesibukan memenuhi undangan persembahan dan menerbitkan karya-karya nasyid baharu, kumpulan Inteam tidak lupa memenuhi tanggungjawab sosial dengan menyertai Misi Kemanusiaan Musim Sejuk 2024 ke Lubnan.
Inteam yang dilantik sebagai satu ikon kemanusiaan rasmi Pertubuhan Peduli Insan Malaysia berlepas ke Lubnan pada Khamis lalu. Kumpulan itu disertai tiga anggotanya iaitu Mohd Syahril, Abdul Rahim dan Muhammad Hazamin serta jurugambar, Aminurrasyid.
Seorang lagi anggota Inteam, Hisyam Ahmad tidak dapat turut serta dalam misi kali ini kerana mewakili Inteam ke Final Anugerah Carta 114 di TV Al-Hijrah, hari ini.
Ketua Inteam, Syah berkata, mereka akan mengedarkan bantuan musim sejuk berupa makanan panas dan kotak barangan dapur, roti, pakaian dan kelengkapan musim sejuk termasuk selimut dan minyak diesel serta bahan bakar untuk pemanas kepada penghuni khemah pelarian Syria di Lubnan.
“Misi kali ini akan menumpukan kawasan perkhemahan di Arsaal sekitar AlBeeqa’ yang bersempadan dengan Syria,” katanya.
Hazamin pula berkata, ini misi kali ketiga disertai anggota kumpulan Inteam bersama Pertubuhan Peduli Insan Malaysia.
“Kali pertama dan kedua sebelum ini kami mengedarkan bantuan musim sejuk di perkhemahan A’azaz bersempadan dengan Turki,” katanya.
Ditanya mengenai isu keselamatan di Beirut, Lubnan, Abdul Rahim pula berkata, pihaknya ada melakukan semakan dengan Union of Relief and Development Associations (URDA) di Lubnan.
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan itu akan memastikan keselamatan delegasi sepanjang berada di Lubnan.
“Mohon doakan kami dapat menjalankan misi ini dengan jaya dan mencapai objektifnya,” katanya.
Misi Kemanusiaan Musim Sejuk 2024 turut disertai kumpulan Nasyid UNIC dan Qariah Farhatul Fairuzah yang telah berlepas lebih awal, iaitu pada 5 Januari lalu.
Sebarang maklumat mengenai aktiviti dan sumbangan boleh layari laman web www.peduliinsan.org dan media sosial Pertubuhan Peduli Insan Malaysia.
-Berita Harian-