AI untuk Rakyat rapatkan jurang digital
Oleh – Syeikh Baran
Program asas kecerdasan buatan (AI) – AI untuk Rakyat ialah inisiatif merapatkan jurang literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata program itu memberikan gambaran asas mengenai dunia AI kepada pelajar bertujuan menarik minat mereka untuk menceburi dan seterusnya membina kerjaya dalam sektor itu.
Bagi golongan masyarakat yang lain, katanya, program itu dapat memberikan fahaman asas mengenai AI agar mereka lebih faham itu satu teknologi yang boleh membawa manfaat yang besar kepada individu, masyarakat dan seterusnya negara.
“Ia bukanlah seperti yang telah digambarkan oleh Hollywood dan digembar-gemburkan sebagai teknologi yang akan mengambil alih fungsi manusia dan seterusnya akan menawan dunia.
“Pemahaman asas mengenai teknologi AI membuka peluang memperdalam pengetahuan teknologi yang amat diperlukan dalam dunia digital.
“Dengan memanfaatkan peluang ini, kita mampu membina ekonomi digital yang kalis masa hadapan dan membolehkan Malaysia menjana nilai yang lebih tinggi di persada dunia,” katanya berucap pada pelancaran Program AI untuk Rakyat yang dilancarkan hari ini.
Pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Putra Malaysia.
Hadir sama Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dengan pelancaran itu, orang ramai kini boleh melayari portal pembelajaran kendiri secara atas talian, AI untuk Rakyat diĀ www.AI.gov.my.
Rafizi menjelaskan, program pengetahuan asas AI secara tidak langsung menarik minat bakat digital untuk mendalami ilmu dan kemahiran teknologi baharu, termasuklah teknologi AI.
Katanya, hasrat kerajaan untuk membina saluran bakat yang sihat bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam era digital ini.
“Pelaburan dalam pendidikan dan kemahiran digital bukan saja membolehkan kita mengharungi arus perubahan terkini dalam landskap ekonomi, tetapi juga melengkapkan diri kita untuk memimpin masa hadapan yang tidak menentu dengan menggunakan sumber sedia ada secara optimum,” katanya.
Beliau berkata, selain promosi dalam melalui media sosial, program itu juga akan dipromosi melalui jabatan dan agensi kerajaan seperti Rakan Muda di bawah Kementerian Belia dan Sukan dan rangkaian Pusat Ekonomi Digital (PEDi), di bawah Kementerian Komunikasi.
Turut serta Pusat Sains Negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Selari dengan pendekatan seluruh negara di bawah kerangka MADANI, saya juga mengalu-alukan pembabitan sektor swasta untuk sama-sama menjayakan program ini.
“Suka saya sarankan kepada semua rakyat Malaysia, di mana juga berada, untuk mengambil peluang yang diberikan secara percuma ini.
“Selain dapat meningkat pengetahuan serta pemahaman mengenai teknologi AI ini, kita juga boleh bersama-sama membina masyarakat yang celik teknologi, demi mencapai aspirasi menjadi negara berteraskan ekonomi digital menjelang 2030,” katanya.
Sumber – Berita Harian