Tiga hingga enam bulan selesai – Fakhruddin
Oleh Pena Merah
Masalah tanah mendap di bangunan kuarters empat tingkat Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan, sehingga diarah dikosongkan pada 7 Januari lalu, dijangka selesai dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata Bahagian Cerun ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengadakan lawatan dan pemeriksaan di kawasan mendapan.
Katanya, laporan terperinci akan dikemukakan dalam masa terdekat bagi kaedah pembaikan dan anggaran kos.
“Anggaran kos akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.
“Dijangka tempoh pelaksanaan pembaikan dan selesai dalam tempoh tiga hingga enam bulan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pada 7 Januari lalu, bangunan kuarters empat tingkat SK Bandar 2 Paloh Hinai diarah dikosongkan susulan kejadian tanah mendap.
Berikutan itu, seramai lapan keluarga membabitkan 24 penghuni dipindahkan sementara ke asrama sekolah berkenaan.
Mohammad Fakhruddin berkata, bagi mengelak aliran air berterusan, JKR Pekan melebarkan longkang dan melencongkan laluan air sistem saliran sedia ada.
Katanya, lencongan aliran itu bertujuan mengelakkan air kawasan sekitar memasuki longkang kawasan kuarters.
“Lencongan itu langkah penyelesaian jangka pendek sementara kerja baik pulih kesan mendapan boleh dilakukan.
“Memang akan mengambil masa sebab kita hendak memastikan kerja baik pulih dan punca kejadian tanah mendap dapat diketahui lebih jelas serta tepat daripada melakukannya secara tergesa-gesa,” katanya.
-Berita Harian-