Syarikat itu bukan saya punya – Tengku Zafrul

 

Oleh Pena Merah

Syarikat itu bukan saya punya - Tengku Zafrul
Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mempersoalkan motif pihak yang mendesak supaya beliau disiasat ekoran pendedahan Kertas Pandora.

Beliau memberitahu, isu berkaitan pelantikannya sebagai Pengarah Capital Investment Bank (Labuan) Limited telah diperjelaskan pada 4 Oktober 2021, berikutan laporan yang disiarkan Malaysiakini pada hari yang sama.



Tengku Zafrul berkata, beliau memegang jawatan tersebut dan menjadi Pengarah Kumpulan Kenanga Holdings mulai Januari 2009 namun melepaskan kesemua jawatan tersebut pada Jun 2010 setelah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad.

“Jadi, sekarang ini ada sesetengah pihak desak supaya saya disiasat berkenaan pendedahan Pandora Papers. Soalan saya siasat untuk apa?

“Saya dinamakan sebagai pengarah syarikat bagi Kumpulan Kenanga sebab saya bekerja dengan mereka. Syarikat itu bukan saya punya.

“Lepas saya tak bekerja dengan Kumpulan Kenanga, jawatan pengarah tu pun saya dah lepaskan,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan melalui media sosial, hari ini.



Pada 8 Januari lalu, Timbalan Pengerusi Gerakan Menuntut Malaysia Bersih (GMMB), Syarul Ema Rena menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap sembilan individu termasuk Tengku Zafrul yang didakwa terlibat dalam siasatan Kertas Pandora.

Tengku Zafrul turut mempersoalkan sama ada GMMB mendakwa semua syarikat kewangan yang beroperasi di Labuan menjalankan perniagaan secara haram dan melanggar undang-undang serta mahu semua pengarah syarikat kewangan di situ disiasat oleh SPRM.

Beliau mengingatkan mereka bahawa Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa Labuan (LIBFC) ditubuhkan pada 1990 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat.

“Kena ingat ya, kerajaan sendiri yang wujudkan LIBFC dan menggalakkan syarikat Malaysia membuka syarikat di sini.



“Adakah mereka nak tuduh kerajaan menggalakkan aktiviti haram?” soalnya.

Tengku Zafrul menjelaskan, terdapat 940 syarikat yang berdaftar dengan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) termasuk 70 bank dan 237 syarikat insurans.

Menurut beliau, sehingga kini bank-bank di Labuan memilik hampir AS$50 bilion aset dan syarikat insurans di Labuan mempunyai premium sehingga AS$1.7 bilion.

“Adakah semua aset-aset ini haram? Untuk 2022 sahaja, syarikat-syarikat di LIBFC menyumbang cukai lebih RM1 bilion.



“Kalau ini semua aset haram, adakah kerajaan kutip cukai dari aktiviti haram?” soalnya lagi.

Tengku Zafrul menambah, LIBFC juga adalah majikan kolar putih terbesar di Labuan dengan lebih 9,000 pekerja, bersamaan 20 peratus daripada jumlah seluruh pekerjaan di Wilayah Persekutuan itu.

“Jadi adakah semua orang yang bekerja di LIBFC juga terlibat dengan aktiviti haram? Kalau ya, ramailah orang Labuan kena berkas lepas ni,” katanya.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul meminta GMMB menjelaskan kesalahan yang mereka ingin SPRM siasat kerana beliau ingin tahu.



-MalaysiaGazette-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button