Pelihara hidupan liar dilindungi, peniaga didakwa di mahkamah
Oleh Pena Merah
Seorang peniaga didakwa Mahkamah Sesyen Seremban hari ini terhadap empat pertuduhan memiliki dua jenis hidupan liar dilindungi di negara ini.
Mohamed Faizal Mohamed Yacob, 46, dari Nilai bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazni Nawi.
Berdasarkan pertuduhan pertama, di sebuah premis kediaman di Nilai, tertuduh telah didapati menyimpan seekor Musang Pulut atau nama saintifiknya Paradoxurus hermaphroditus iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh menyimpan seekor Musang Pulut yang tidak matang manakala pertuduhan ketiga pula menyimpan seekor Musang Pulut betina.
Pertuduhan keempat pula, didapati menyimpan seekor Kura-Kura Telinga Merah atau nama saintifiknya Trachemys scripta.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 60(1)(a) Akta 716, dan boleh dihukum di bawah seksyen 60(1) akta yang sama
Bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 117(1) Akta 716, dan boleh dihukum di bawah seksyen 117(2). Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah premis kediaman di Nilai, kira-kira pukul 6 petang, 24 Julai 2019.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore Bolongan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim kemudiannya menetapkan 6 Mac ini sebagai tarikh serahan dokumen.
-Utusan-