Kelantan mohon kuota subsidi diesel untuk PBT

 

Oleh Pena Merah

Kelantan mohon kuota subsidi diesel untuk PBT
HILMI Abdullah (kanan) menyempurnakan gimik penyerahan lori kompaktor baharu kepada MPKB pada Program ‘Jupo Mato’ Kelantanku Bersih di MPKB Jabatan Perkhidmatan Bandar di Panji, Kota Bharu, Kelantan hari ini.- UTUSAN

Kerajaan Kelantan bercadang mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mendapatkan kuota subsidi diesel untuk semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, ia berikutan rungutan kenaikan harga diesel sekali gus kesan terhadap pergerakan dan operasi PBT di seluruh negeri.



“Permohonan untuk kuota itu melibatkan kegunaan lori pembersihan dan saya akan berbincang dengan pihak kementerian bagi memastikan berapa amaun subsidi yang boleh diberikan.

“Berkemungkinan besar KPKT akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang mempunyai punca kuasa memberikan subsidi diesel lebih dahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program ‘Jupo Mato’ Kelantanku Bersih di Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) Jabatan Perkhidmatan Bandar di Panji, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu memberitahu, langkah itu susulan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sudah mendapat kuota subsidi diesel untuk jentera pertanian.

“Jadi kita berhasrat untuk mendapatkan kuita subsidi yang sama kerana ketiadaan subsidi diesel memberikan kesan kepada kos dan peruntukan PBT,” ujarnya.



Dalam perkembangan lain Hilmi berkata, tapak pelupusan sisa pepejal di negeri ini telah dinaik taraf daripada tapak pelupusan biasa atau (dumpsite) kepada timbus tanah atau ‘landfill’ dengan menggunakan sistem pengurusan sisa pepejal terkini.

“Saya difahamkan melalui sistem tersebut, jika tapak pelupusan sisa pepejal diuruskan dengan betuk, ia mampu membawa pulangan kepada syarikat yang menguruskan tapak pelupusan berkenaan.

“Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn. Bhd. telah diberikan tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menguruskan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Beris Lalang di Bachok bagi pihak MPKB dan juga Majlis Daerah Ketereh, Pasir Puteh dan Bachok,” ujarnya.

Katanya, selain itu sebuah syarikat lain baru mengambil alih pengurusan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Kok Bedollah, Tumpat dan Bukit Che Rose, Tanah Merah.



-Utusan-


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading