Hidup bergelap sejak 14 tahun lalu

Oleh – Syeikh Baran


Hidup bergelap sejak 14 tahun lalu
Penduduk di Kampung Bayu Dalam, Gua Musang, semalam, menunjukkan lampu solar yang digunakan mereka, namun tidak berfungsi ketika musim hujan. NSTP/Paya Linda Yahya

Lapan keluarga di Sungai Bayu Dalam, di sini, masih menggunakan lampu solar dan set generator bagi mendapatkan sumber bekalan elektrik sejak 14 tahun lalu.

Malah, penduduk mendakwa mereka terpaksa menghabiskan sehingga RM20 sehari apabila tiba musim tengkujuh kerana lampu solar tidak dapat dinyalakan tanpa adanya cahaya matahari.



Penduduk, Rapiah Ismail, 63, berkata dia mula tinggal di kampung terbabit sejak 14 tahun lalu apabila mengusahakan sendiri kebun kebun kelapa sawit dan sayur-sayuran.

Katanya, pada awalnya mereka hanya menggunakan pelita untuk menerangi rumah pada waktu malam sebelum beralih menggunakan lampu solar dan generator sejak 10 tahun lalu.

“Sehingga kini di rumah saya tidak ada periuk nasi, televisyen dan peti sejuk kerana tidak mempunyai bekalan elektrik yang dibekalkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Ramai yang memiliki tanah kebun di kampung ini, namun tidak sanggup untuk tinggal di sini kerana tiada bekalan elektrik. Ramai yang sudah tanam getah dan sawit di kebun mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Bayu Dalam, di sini.



Khairudin Che Ibrahim, 41, yang juga pemilik kebun kelapa sawit pula berkata, dia berharap ada usaha dilakukan oleh pihak berwajib untuk membantu penduduk mendapatkan bekalan elektrik.

“Di kampung ini terdapat kira-kira 14 rumah dan hanya kami lapan rumah yang tidak mendapat bekalan elektrik dan rumah saya sendiri menggunakan generator yang sudah pasti memerlukan kos minyak dan penyelenggaraan.

“Saya pernah membuat permohonan sebanyak dua kali dengan TNB namun masih tiada jawapan. Kita harap cepatlah elektrik dipasang sebab dalam cuaca mendung ini solar tidak dapat dicas dan kita terpaksa bergelap atau menggunakan generator untuk menghidupkan lampu pada waktu malam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, berkata beliau mengambil maklum mengenai masalah penduduk di kampung terbabit dan akan merujuk kepada pihak berwajib.



“Kita dapati tiang elektrik sudah ada di kawasan ini, tetapi penduduk masih tidak dapat menikmati bekalan elektrik dari TNB.

“Mungkin terdapat beberapa kekangan yang memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan, tetapi saya yakin kerajaan akan dapat menyegerakan isu yang membelenggu sebahagian daripada 14 keluarga di kampung ini,” katanya.

Sumber – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button