Wajah baru di Suria FM
Oleh Pena Merah
Di sebalik kemelut penamatan kontrak bekas penyampai radio, Tyzo Xander, pengurusan stesen radio Suria FM memilih untuk mengumumkan tiga selebriti yang akan menggalas tugas sebagai penyampai radio baharu di stesen berkenaan.
Bakal memulakan tugas mereka pada 21 Januari ini, pihak pengurusan Suria Fm mengumumkan Datuk Fizz Fairuz, Chiwan Cilok bersama Kai Hassan akan membarisi penyampai radio yang lain untuk mengendalikan segmen masing-masing.
Menurut Fizz atau nama sebenarnya Fairuz Zainal Abidin, dia bersyukur dengan tawaran yang diberikan selain berharap kehadirannya diterima baik pendengar Suria.
“Menjadi penyampai radio merupakan perkara baru dalam hidup saya. Dengan tugasan ini jadual akan berubah dan saya boleh belajar bekerja mengikut waktu pejabat, sesuatu yang tak pernah saya buat selama ini.
“Apabila ditawarkan saya tidak keberatan untuk menerima. Semoga dapat memberi kelainan kepada pendengar,” katanya.
Fizz berkata demikian ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan penyampai baharu dan seleksi program menarik Suria 2024 yang berlangsung di Menara Star, Petaling Jaya,semalam.
Berkongsi lanjut, kata Fizz, sebelum ini, dia pernah beberapa kali tampil sebagai penyampai jemputan untuk Segmen Morning Morning Suria.
Sementara itu, Kai atau Abdul Karim Hassan juga meluahkan rasa teruja dan tidak teragak-agak untuk memberi kata setuju selepas menerima tawaran itu.
“Bekerja di bawah stesen Suria juga salah satu impian saya. Jadi memang tidak ada masalah untuk saya terima tawaran ini.
“Syukur Suria sudi memberi tawaran meskipun saya bukanlah nama besar dalam bidang penyiaran,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Suria iaitu DJ Lin atau Roslinda Abdul Majid berkata penyertaan tiga nama ini diharap mampu mengukuhkan lagu jenama stesen berkenaan menjelang sesi ‘radio survey’ bulan depan.
Ini merupakan salah satu langkah seiring dengan keperluan semasa untuk memantapkan dan kukuhkan lagi barisan penyampai,” jelasnya.
Untuk info, Fizz bakal bersiaran untuk segmen pagi bersama Ajak dan Suraya.
Chiwan pula akan bergandingan bersama Shahrifah Shahirah untuk segmen Suria Petang mengganti Tyzo yang ditamatkan perkhidmatan bermula 12 Januari lalu.
Manakala Kai pula akan mengendalikan segmen Morning Morning Suria dan Carta Suria Top 40 menggantikan Suraya sementara cuti bersalin.
-Utusan-