5 maut serangan Israel ke atas Syria

Oleh – Syeikh Baran


 

Serangan Israel ke atas sebuah bangunan di Damsyik mengorbankan lima orang, lokasi di mana ‘pemimpin bersekutu Iran’ didakwa bertemu pada Sabtu, menurut seorang pemantau perang, ketika ketegangan serantau terus memuncak susulan perang Israel-Hamas.



“Serangan peluru berpandu Israel menyasarkan sebuah bangunan empat tingkat, membunuh lima orang dan memusnahkan keseluruhan bangunan tempat pertemuan pemimpin bersekutu Iran,” kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

“Mereka pasti menyasarkan anggota kanan kumpulan itu,” kata pengarah kumpulan pemerhati itu, Rami Abdel Rahman.

Serangan pada awal pagi itu, mengakibatkan kepulan asap besar kelihatan di udara, menurut laporan media kerajaan Syria.

“Serangan mensasarkan sebuah bangunan kediaman di kawasan kejiranan Mazzeh di Damsyik, hasil daripada pencerobohan Israel,” lapor agensi berita rasmi SANA.



Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan jika terdapat kemalangan jiwa.

Wartawan membuat liputan di lokasi kejadian menyatakan bangunan yang musnah sudah dipenuhi ambulans, anggota bomba dan pasukan penyelamat Bulan Sabit Merah Syria.

Sementara anggota pertahanan awam pula sibuk mencari kemungkinan ada mangsa yang masih terselamat di bawah runtuhan itu.

Kawasan Mazzeh juga menempatkan ibu pejabat, kedutaan dan restoran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



“Saya mendengar letupan dengan jelas di kawasan Mazzeh barat dan melihat kepulan asap besar. Bunyi itu serupa letupan peluru berpandu dan beberapa minit kemudian, saya mendengar bunyi ambulans,” kata seorang penduduk.

Sepanjang lebih sedekad perang saudara di Syria, Israel sudah melancarkan ratusan serangan udara ke atas wilayahnya, terutama menyasarkan pasukan disokong Iran serta kedudukan tentera Syria.

Serangan terus dipertingkat sejak perang antara Israel dan Hamas, sejak konflik bermula pada 7 Oktober lalu.

Tentera pada Disember memberitahu, serangan udara Israel membunuh seorang jeneral kanan kepada Pengawal Revolusi Iran.



Razi Moussavi ialah komander paling kanan dalam Pasukan Quds, terbunuh di luar Iran sejak serangan dron Amerika Syarikat (AS) di Baghdad pada 3 Januari 2020, turut membunuh komander Pasukan itu, Qasem Soleimani.

Pada bulan sama, serangan udara di timur Syria, ‘kemungkinan’ dilakukan Israel, membunuh sekurang-kurangnya 23 pejuang pro-Iran.

Beberapa bulan kebelakangan ini, turut menyaksikan pertukaran serangan balas di sempadan antara Israel dan Hizbullah yang di sokong Iran di selatan Lubnan.

Israel jarang mengulas mengenai serangan individu menyasarkan Syria, namun berulang kali menyatakan tidak akan membenarkan musuh ketatnya, Iran memperluaskan kehadiran dan kerjasamanya dengan kerajaan Presiden Bashar al-Assad. – AFP



Sumber – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button