Catriona Ross tak terfikir lakukan pembedahan bariatik
Oleh Pena Merah
Pelakon, Catriona Ross, 44, mengakui, setakat ini masih belum terfikir untuk memilih melakukan pembedahan bariatrik sebagai jalan pintas untuk menurunkan berat badan dengan cepat.
Menurut pelakon dengan nama sebenarnya, Catriona Norhayati Ross, dia lebih cenderung untuk melakukan penurunan berat badan secara semula jadi terutama menerusi teknik senaman.
“Saya adalah seorang wanita yang tak terfikir nak buat pembedahan bariatrik, tak mahu melalui proses seperti itu. Kalau ada orang yang fikir begitu, kita adalah sama dan saya sangat memahami.
“Kita boleh saja mulakan dengan program larian atau berjalan kaki sebagai satu bentuk senaman. Memang susah mulanya sebab mencabar. Setengah rakan-rakan mungkin akan mengejek, keluarga pun mungkin akan bertanya-tanya tanda tak percaya.
“Nasihat saya, jangan jadi sensitif. Setiap permulaan sesuatu itu memang susah. Tetapi percayalah pada sasaran dan proses. Kalau kita lakukan dengan konsisten, anda tetap akan sihat juga, boleh turunkan tahap gula, kolesterol atau apa sahaja yang masalah kesihatan yang sedang anda hadapi,”katanya.
Catriona berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram, hari ini.
Selain itu, kata Catriona, dia tidak akan mudah menghukum seandainya percubaan seseorang individu untuk menurunkan berat badan menemui kegagalan.
“Ini kerana, okey sahaja kalau seseorang menemui kegagalan. Kita semua cuma manusia. Tak mengapa kalau kita tak mampu capai sasaran dan bagi saya, sekurang-kurangnya kita dah buat satu permulaan.
“Tak semua yang kita rancang akan terjadi sebagaimana yang kita mahu, Jadi, saya cadangkan supaya kita ada perancangan baharu dan buat jadual senaman. Buat apa yang anda minat.
“Jangan ikut orang sebab kita nak konsisten bukan?”katanya.
-Utusan-