Pan Gon ‘terpaling’ Malaysia

Oleh – Syeikh Baran


Pan Gon 'terpaling' Malaysia
Reaksi ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon ketika menentang Korea Selatan pada Piala Asia malam tadi. – AFP

Meskipun meraih keputusan seri 3-3 ke atas Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 malam tadi, keputusan itu bagaikan satu ‘kemenangan’ buat skuad Harimau Malaya.

Mana tidaknya, skuad negara berjaya menutup kempen Piala Asia 2023 dengan penuh bergaya apabila menafikan hasrat pasukan di ranking ke-23 dunia itu untuk meraih mata penuh pada aksi di Stadium Al Janoub itu.



Lebih manis, kegembiraan skuad bimbingan Jurgen Klinsmann itu direntap pada saat akhir apabila jaringan pemain gantian, Romel Morales menjadikan kedudukan 3-3 meskipun Korea Selatan mendahului 3-2 hasil sepakan penalti Son Heung Min.

Justeru, tidak hairanlah jaringan penyamaan Morales itu disambut dengan penuh keghairahan dan bersemangat oleh pengendali negara, Kim Pan Gon.

Ia adalah satu suasana yang jarang untuk disaksikan apabila orang Korea Selatan meraikan jaringan gol ke atas pasukan Korea Selatan seperti yang dilakukan Pan Gon sejurus percubaan Morales menewaskan Jo Hyeon Woo.

Tiada istilah sentimen kenegaraan apabila Pan Gon dilihat berlari dengan penuh bersemangat bagi meraikan jaringan terbabit sebelum dia turut dilihat memeluk pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente.



Jaringan itu jelas memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga buat Pan Gon khususnya selepas mengambil kira ini mata pertama buat skuad negara di kempen Piala Asia sejak 1980.

Menerusi siaran langsung di kaca televisyen, penyokong dapat menyaksikan pelbagai reaksi dan emosi ditunjukkan Pan Gon sepanjang perlawanan menentang Korea Selatan itu.

Ada kalanya dia duduk, ada kalanya dia berdiri sambil memberikan arahan kepada anak buahnya dan emosi Pan Gon sudah pasti memuncak selepas jaringan penyamaan penuh dramatik itu.

Pada aksi terbabit, Malaysia terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan Jeong Woo Yeong sebelum Malaysia bangkit pada babak kedua hasil jaringan Faisal Halim dan sepakan penalti Arif Aiman Hanapi.



Sepakan percuma Lee Kang In pada minit ke-83 membolehkan Korea Selatan kembali dalam perlawanan dan Korea Selatan beroleh sepakan penalti yang disempurnakan Heung Min pada minit keempat masa tambahan.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button