De Jong ledak gol ke-11,000 Barcelona
Oleh – Syeikh Baran
Pemain tengah Barcelona, Frenkie de Jong mencipta sejarah tersendiri apabila meledak gol ke-11,000 pasukan itu sejak kelab berprestij Sepanyol berkenaan mula ditubuhkan pada 29 November 1899.
De Jong, 26, mengukir namanya sebaris dengan legenda-legenda Barcelona yang lain selepas meledak gol ketiga The Catalans pada minit ke-62 ketika menewaskan Getafe 4-0 dalam aksi La Liga di Estadi Olimpic Lluis Companys awal pagi tadi.
Bagaimanapun, bintang Belanda itu tidak gembira dengan keseluruhan prestasi biarpun melengkapkan 92 peratus hantaran, empat terjahan, lima kali berjaya mengeluarkan bola dan memenangi 11 perebutan bola dengan pemain lawan.
“Benar, ia satu kemenangan yang selesa dengan keputusan 4-0, tetapi kami agak bergelut di separuh masa pertama. Kami meninggalkan banyak ruang kosong kerana mereka berjaya mengekang kami dalam pertarungan satu lawan satu.
“Saya tidak merasakan ini adalah perlawanan terbaik saya walaupun akhirnya kami menang. Saya akan terus bekerja keras dan berusaha sehingga ke penghujung musim.
“Perebutan kejuaraan tidak terletak di tangan kami, tetapi kami akan cuba untuk terus memenangi perlawanan. Kita tunggulah apa akan terjadi selepas ini,” kata De Jong.
Tiga lagi gol Barcelona dalam aksi itu diperoleh menerusi Raphinha pada minit ke-21, Joao Felix (m-53) dan Fermin Lopez (m-90+1).
Skuad bimbingan Xavi Hernandez itu melonjak ke tangga kedua dengan 57 mata, namun dijangka sukar untuk mempertahankan gelaran La Liga dimenangi musim lalu berdasarkan kelebihan besar dimiliki Real Madrid di puncak liga. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE