Jika kedai orang Islam hina Islam, lebih teruk diboikot – Akmal
Oleh Pena Merah
“Jika kedai orang Islam jual benda yang sama menghina agama Islam bukan sahaja boikot, malah lebih teruk kita akan boikot dan kenakan padanya”
Demikian respons Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh terhadap kritikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook keatasnya dalam isu stoking tertera kalimah Allah.
Menurut Muhamad Akmal, isu yang timbul bukan soal perkauman, tetapi ia adalah tentang menjaga kesucian agama Islam.
“Jika ada mana-mana pihak yang mencemarkan agama Islam, tidak kira bangsa mahupun fahaman politik kita akan tetap lawan habis-habisan.
“Yang memainkan isu ini sebagai isu perkauman ini kamu. ‘Shame on u’. Kekal boikot KK Mart,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan dipetik berkata, DAP tidak bersetuju dengan pendekatan Muhamad Akmal dalam isu KK Mart.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Ketua Pemuda UMNO itu akan bertindak demikian sekiranya isu tersebut melibatkan syarikat milik orang Islam.
Pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. sebelum ini tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah di salah satu cawangannya.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut. – KOSMO! ONLINE