Al Jazeera dikenakan sekatan di Israel
Oleh Pena Merah
Al-Jazeera akan dikenakan sekatan yang menghalang stesen berkenaan menyiarkan sebarang berita di Israel.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata sekatan itu akan dibuat menerusi undang-undang keselamatan yang baru diluluskan.
“Al Jazeera tidak akan bersiaran lagi di Israel. Saya berhasrat untuk bertindak segera mengikut undang-undang baharu bagi menghentikan aktiviti saluran berkenaan,” katanya menerusi ciapan di aplikasi X, semalam.
Pemilihan Al Jazeera itu dibuat Netanyahu sejurus undang-undang itu diluluskan di parlimen menerusi 70 undian menyokong, manakala 10 lagi sebaliknya di parlimen, semalam.
Undang-undang itu memberi kuasa kepada menteri tertinggi mengharamkan siaran saluran asing yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara serta mengarahkan semua pejabatnya ditutup.
Mengulas sekatan itu, Al Jazeera menyifatkannya sebagai ‘sebahagian siri serangan sistematik Israel terhadap stesen itu’, termasuk pembunuhan seorang wartawan paling terkenal di rantau itu ketika membuat liputan serbuan Israel, pada Mei 2022.
Al Jazeera dalam kenyataan berkata, Netanyahu melancarkan kempen tuduhan ‘tidak keruan’ dan ‘memalukan’ ke atas rangkaian itu, selain berikrar meneruskan liputan ‘lebih berani’ mengenai perang.
Dua wartawan rangkaian itu terbunuh ketika konflik selain pejabat penyiaran di wilayah Palestin turut dibom.
Sementara itu, Jawatankuasa Melindungi Wartawan berpangkalan di New York berkata, undang-undang itu ‘menyumbang kepada tapisan kendiri dan permusuhan terhadap akhbar, trend yang melonjak sejak perang Israel-Gaza bermula’.
Katanya, sekurang-kurangnya 95 wartawan dan petugas media terbunuh sejak 7 Oktober lalu, menandakan ‘tempoh paling dahsyat bagi wartawan sejak CPJ mengumpul data pada 1992. – Berita Harian