Surat layang ini adalah bersifat fitnah – Presiden FAM

 

Oleh Pena Merah

 Surat layang ini adalah bersifat fitnah - Presiden FAM
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-60 di sebuah hotel. Turut hadir, kedua-dua Timbalan Presiden FAM iaitu Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi (dua dari kiri) dan Datuk S Sivasundaram (dua dari kanan).

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan beberapa dakwaan dalam ‘surat layang’ seperti yang tular di laman media sosial selain turut diemelkan kepada pengamal media itu sebagai satu tohmahan dan menyerang peribadi.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin melihat dakwaan membabitkan isu rasuah dan salah guna kuasa presiden dan setiausaha agung itu datang daripada seorang individu ataupun lebih yang memiliki rasa tidak puas hati dengan kepemimpinan tertinggi badan induk itu.



“Saya ingin nyatakan bahawa segala apa yang dinyatakan oleh penulis surat layang ini adalah bersifat fitnah dan tohmahan semata-mata. Tetapi saya dan EXCO tidak defensif dengan ini (dakwaan) semua, cuma ia lebih kepada serangan peribadi.

“Untuk makluman semua, semua perkara membabitkan kewangan di FAM adalah mengikut Statut FAM serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan iaitu ia perlu menerusi Jawatankuasa Tetap masing-masing, seterusnya dibawa ke Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM.

“Selepas itu, barulah ia dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diluluskan,” kata Hamidin.

Justeru, Hamidin menjelaskan badan induk itu sedia disiasat selepas mereka akan menghantar laporan berhubung perkara itu kepada Jawatankuasa Integriti FAM selaku badan bebas yang dipengerusikan Tan Sri Dr Aseh Che Mat.



“Jawatankuasa itu turut dibarisi antaranya wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dinilai dan diperhalusi.

“FAM sentiasa bersikap terbuka untuk disiasat dan akan memberikan sepenuh kerjasama dalam memberikan maklumat mengenai dakwaan-dakwaan yang dinyatakan dalam surat layang terbabit,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial ‘surat layang’ dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM.

Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan. – Berita Harian




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading