Diana Danielle akui seorang dominan dalam rumah tangga
Oleh Pena Merah
Aktres Diana Danielle akui seorang dominan dalam rumah tangga, namun belajar daripada kesilapan lalu dan cuba mengikis sikap negatif agar rumah tangga bersama Farid Kamil yang bertaut semula kekal harmoni.
Ujar Diana, 33, dia banyak membuat keputusan dalam rumah tangga, tapi kini dia menyerahkan kepada Farid, 43, untuk mengemudinya.
“Komunikasi adalah kunci utama dalam rumah tangga. Kini, segala perkara kami akan bincang ‘straight to the point’, nak bergaduh ke apa, janji perkara dapat selesai secara bersama.
“Saya cuba tidak terlalu dominan sebagai isteri. Dulu saya terlalu memainkan peranan dalam rumah tangga sampai tak beri peluang kepada Farid, sedangkan dia adalah suami. Tapi, sekarang saya beri Farid peluang buat keputusan dan ikut setiap keputusan dibuat,” katanya pada majlis pelancaran makanan kesihatan Zenso di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson berkata, keputusan kembali rujuk bukan sesuatu yang mudah dilakukan.
Katanya, dia memang tiada langsung sekelumit hasrat kembali rujuk ketika rumah tangga berantakan sehingga membawa kepada episod turun naik mahkamah.
“Namun selepas bertentang mata dan duduk semeja berbincang hati ke hati dalam luahan panjang, mereka akhirnya mencapai kata sepakat untuk saling memberi peluang untuk memulihkan kembali rumah tangga yang hampir roboh itu.
“Kami tak rancang nak rujuk, ketika itu kami sudah cari haluan masing-masing. Tapi bila tengok keadaan anak-anak seperti hilang arah dan saya nampak Farid masih mencuba serta ada semangat untuk baiki hubungan, jadi saya setuju mulakan semula perhubungan dengan kosong-kosong.
“Tapi nak dapat ‘kosong-kosong’ dalam erti kata reda bukan senang, maksudnya kami memang keluarkan segala isi hati yang tak pernah diluahkan selama ini.
“Segala komunikasi terbantut dan terpendam, semuanya kami luahkan.
Proses ini bukan ambil masa sekali jumpa, tapi hampir berbulan untuk kami cari tempoh.
“Bila orang ramai gembira dan seronok kami rujuk, saya sebenarnya sangat takut dan dalam keadaan berjaga-jaga sebab masih dalam tempoh nak memahami ‘kami’ yang baru.
“Dia macam buka buku baharu, saya nak menulis, tetapi tak tahu nak tulis apa. Jadi, kami memilih merendah diri dan cuba muatkan walaupun kami adalah dua manusia berbeza dari segi pemikiran serta cara hidup.
“Saya cuba untuk muhasabah diri dan bersyukur sangat dengan apa yang ada,” katanya lagi.
Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pada 10 Ogos tahun lalu, tetapi kembali rujuk pada 31 Ogos.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – Berita Harian