‘Cukuplah, saya dah tak nak bertanding’ – Tajuddin
Oleh – Syeikh Baran
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, memutuskan tidak bertanding pada pilihan raya umum atau pemilihan parti itu pada masa akan datang.
Sebaliknya, beliau mahu menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuhkan semula parti supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali diterima semua lapisan rakyat.
“Saya bukan nak bertanding jadi wakil rakyat semula. Saya sudah merasa menjadi ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli parlimen, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan timbalan menteri. Cukuplah.
“Saya cuma nak UMNO dan BN bangkit dan menebus kekalahan. Saya akan buat apa yang saya mampu sehabis baik untuk bantu.
“Saya tidak akan bersara. Selagi hayat dikandung badan, saya akan teruskan perjuangan untuk parti bangkit semula.
“Kita masih ada masa untuk buat kerja mengukuhkan parti. UMNO mampu bangkit jika betul tindakan yang diambil,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah di sini, hari ini.
Tajuddin yang kini digantung keahlian UMNO, tidak menyalahkan parti atas hukuman itu dan meminta rakyat tidak meninggalkan UMNO.
“Apa yang berlaku pada diri saya bukan kerana parti dan bukan kesalahan parti. Yang buat salah adalah orang tertentu, kenapa parti pula yang dihukum.
“Kita perlu tahu bezakan antara parti dengan individu. Kalau hari ini, orang itu ada di situ, esok lusa dia dah tiada. Jadi, kalau kita buang parti, habislah sedangkan kita mahu parti bangkit semula,” katanya.
Sumber – BERIRTA HARIAN