Awtar dipecat kerana kelakuan melampaui batas toleransi parti

Oleh – Syeikh Baran


Awtar dipecat kerana kelakuan melampaui batas toleransi parti
R T Rajasekaran (kiri) dan Awtar Singh

Pemecatan Pengerusi MIC Bahagian Puchong, Awtar Singh tiada kena mengena dengan institusi presiden parti itu yang didakwa tidak demokratik dan tidak boleh dikritik, kata Setiausaha Agung MIC, Datuk R T Rajasekaran.

Jelasnya, tindakan itu diambil kerana Awtar antara lain terlalu agresif menyerang kepemimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 

“Perkara ini tiada kena mengena dengan dakwaan beliau bahawa presiden (Presiden MIC, Tan Sri A Vigneswaran) tidak boleh dikritik. Sebenarnya beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada parti pada Rabu ini,” katanya kepada BH hari ini.



Rajasekaran yang turut mendedahkan beberapa insiden membabitkan kelakuan Awtar, mendakwa pemimpin MIC Bahagian Puchong itu sebelum ini mengkritik pelbagai pihak, termasuk Menteri Besar Selangor, menteri dalam Kerajaan Perpaduan dan pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Pucuk pimpinan MIC sering memberi amaran dan memberi banyak peluang kepada beliau untuk memberi pendapat secara berhemah,” katanya.

Antara insiden lain, beliau mendakwa, Awtar berkelakuan kasar dengan pemimpin MIC Selangor ketika sesi perjumpaan dengan pimpinan tertinggi UMNO negeri itu di Putrajaya beberapa minggu lalu, selain insiden sama dengan seorang ahli parti sewaktu mesyuarat cawangan MIC Puchong.

Rajasekaran berkata, Vigneswaran sudah banyak kali mengadakan pertemuan dengan Awtar termasuk memberi ruang kepadanya memberi pendapat secara terus kepada Presiden MIC itu.



“Keterbukaan Presiden MIC mengambarkan bahawa Awtar tidak pernah dihalang daripada menyuarakan pandangan dalam parti. Presiden selalu memberi peluang kepada semua orang termasuk Awtar untuk memberi pendapat demi kebaikan parti.

“Semasa mesyuarat kerja pusat MIC, semua ahli-ahli sering memberi pendapat dan presiden menerima pendapat mereka secara baik. Tindakan terhadap Awtar diambil kerana kelakuan beliau melampaui batas toleransi parti,” katanya.

Tindakan terhadap Awtar diambil enam jam selepas klip video beliau mengkritik Vigneswaran disebarkan di media sosial semalam. Difahamkan, beliau diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan terhadap pemecatannya itu.

Dalam klip video berkenaan, Awtar antara lain mempersoalkan kenyataan Vigneswaran yang dilihatnya tidak menggalakkan ahli parti parti menentang Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan pada pemilihan parti bulan depan.



Sementara itu, portal berita FMT melaporkan, Awtar tidak akan membuat rayuan terhadap tindakan yang dikenakan MIC, menyifatkannya sebagai ‘membuang masa’ kerana beliau sudah dapat menjangka keputusannya.

Ahli MIC selama 40 tahun itu bertegas mendakwa pemecatannya tidak adil dan beliau tidak diberikan surat tunjuk sebab sebelum tindakan berkenaan diambil.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading