‘FAM perlu bertanggungjawab aksi buruk di Qatar’
Oleh – Syeikh Baran
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bertanggungjawab atas prestasi buruk skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang tersingkir awal dari kejohanan Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar.
Beliau turut mempersoalkan persiapan bagaimana yang sudah diberikan kepada pemain dengan mereka dilihat tidak belajar daripada kesilapan terutama apabila memberikan sepakan penalti kepada pasukan lawan.
“Persiapan pasukan tak berapa rapi, jurulatih dilantik pun agak baru. Saya sendiri sudah jangka memang skuad B-23 akan pikul tugas berat di Piala Asia kerana pasukan yang bertanding semuanya kuat.
“FAM harus bertanggungjawab, bahagian jawatankuasa pengurusan pasukan perlu bertanggungjawab. Adakah pasukan tidak membuat kajian daripada kekalahan dalam aksi persahabatan?
“Apabila masuk pertandingan besar seperti Piala Asia, persiapan kena rapi. Persiapan macam mana kita sudah berikan kepada pemain, pemain bagi penalti kepada lawan.
“Mungkin ada yang ingat penalti itu remeh, tetapi penalti menyebabkan kita membenarkan pihak lawan mendapatkan gol mudah,” katanya kepada BH Sukan.
Untuk rekod, Harimau Malaya bolos tiga kali menerusi penalti ketika tewas 1-2 dan 0-1 kepada China dan Qatar dalam aksi pemanas badan pada awal bulan ini.
Badi penalti terus menghantui skuad negara di Piala Asia B-23 apabila mereka ‘menghadiahkan’ dua penalti dalam dua aksi awal Kumpulan D termasuk satu ketika tewas 0-2 kepada Uzbekistan dalam aksi pertama, Rabu lalu dan satu semasa tunduk dengan jaringan sama kepada Vietnam, semalam.
Selain kesilapan yang mengundang kepada jaringan lawan, anak buah Garrido juga dilihat berdepan masalah ketumpulan jentera serangan dengan mereka tidak berjaya menjaringkan sebarang gol dalam dua aksi awal Piala Asia.
Mengulas lanjut, Azlan menjelaskan bahawa aspek kemahiran individu perlu diusahakan sendiri pemain dan bukannya terletak 100 peratus di bahu jurulatih.
Malah, beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai kualiti pemain B-23 negara yang dianggap bakal menjadi pelapis kepada skuad senior Harimau Malaya pada masa akan datang.
“Pemain kena berusaha kuat untuk majukan diri yang mana 80 peratus kemahiran pemain adalah datang dari mereka sendiri dan hanya 20 peratus datang dari tunjuk ajar jurulatih. Jurulatih tiada masa yang banyak nak menajamkan kemahiran individu, pemain kena buat sendiri.
“Apa yang kita tengok Lionel Messi menggelecek dan Cristiano Ronaldo jaringkan gol banyak, itu usaha mereka berlatih beribu kali. Jadi adakah pemain kita buat sesuatu (berlatih sendiri) beribu kali,” katanya.
Kekalahan kepada Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa menyaksikan skuad negara tersingkir awal dari kejohanan dan sasaran untuk melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir Piala Asia B-23 terkubur.
Malaysia dan Kuwait yang tidak meraih sebarang mata selepas dua perlawanan berada di kedudukan ketiga dan keempat kumpulan manakala Uzbekistan dan Vietnam yang berjaya mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya berkongsi enam mata di tangga dua teratas.
Skuad Garrido akan menentang Kuwait dalam aksi pelengkap jadual Kumpulan D di Stadium Al Janoub, Selasa ini manakala Uzbekistan dan Vietnam akan bertembung di Stadium Antarabangsa Khalifa.
Sumber – BERITA HARIAN