Pengubahan wang haram: JSJK sedia bantu siasatan SPRM

KUALA LUMPUR, 13 Okt — Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersedia memberikan kerjasama sekiranya ada anggota dan pegawai di jabatan itu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket perjudian dalam talian serta pengubahan wang haram.

Pengarah JSJK Datuk Zainuddin Yaacob berkata pihaknya tidak akan sesekali melindungi jika ada anggota dan pegawai yang disyaki terbabit dengan sindiket itu.

“Kami akan berikan kerjasama yang sepenuhnya kepada mana-mana pihak yang menjalankan siasatan terhadap mereka sekiranya disyaki terlibat.

“Mana-mana peringkat pun saya tidak akan berkompromi terhadap mereka jika disyaki terlibat dalam kes-kes yang disiasat oleh pihak-pihak tertentu… saya juga tidak akan melindungi mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui hari ini.



Selain itu, beliau berkata pihaknya bersedia membantu proses siasatan terhadap mereka yang disyaki berhubung kes terbabit sekiranya diperlukan.

“SPRM mempunyai peruntukan undang-undang dan kuasa untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana pegawai kami, tetapi kalau ada  bantuan yang diperlukan untuk mereka peroleh maklumat dan memerlukan siasatan lanjut, kami akan bantu,” katanya.

Selain SPRM, Zainuddin berkata JSJK menerusi Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) terlibat menyiasat sindiket judi secara dalam talian dan pengubahan wang haram, yang didakwa melibatkan selebriti dan pegawai serta anggota polis.

Ahad lepas, Bernama melaporkan tujuh anggota dan pegawai polis yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes sindiket judi secara dalam talian serta pengubahan wang haram dibebaskan dengan jaminan SPRM.



Sebaik dibebaskan, mereka ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada hari  sama untuk membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berikutan kes diklasifikasi sebagai jenayah bersindiket setelah disyaki menyalah guna kuasa melindungi sindiket serta menerima habuan dalam bentuk wang ringgit dan lain-lain.

Pada 8 Okt, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki  mendedahkan bahawa pihaknya mengesan ratusan syarikat ‘dami’ yang diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket itu.

SPRM sebelum ini turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi yang dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button