PH… Simpanlah Kemaruk Politik – Rosni

HULU SELANGOR, 16 April – Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor, Datuk Rosni Sohar menempelak pemimpin Pakatan Harapan (PH) agar simpan kemaruk politik mereka ketika mana rakyat dan negara kini sedang diuji dengan penularan wabak COVID-19.

Tegas Rosni, apa yang rakyat mahu adalah rantaian COVID-19 segera dihapuskan dan kehidupan kembali seperti sedia kala.

“Ketika ini, Sidang Khas Parlimen bukan jalan penyelesaian kecuali hanya demi nafsu politik semata-mata.

“Kalaupun hendakkan perhatian rakyat yang ketika ini bersatu di belakang kerajaan, buatlah sesuatu yang boleh membantu memerangi COVID-19 ini, bukannya berterusan merengek seperti anak kecil. ‘Move on’,” katanya dalam satu kenyataan, mengulas mengenai PH yang mendesak diadakan Sidang Khas Parlimen dalam waktu terdekat ini.



Bidas Rosni lagi, idea sidang khas itu mungkin bagus jika dibuat semasa COVID-19 mula disahkan merebak ke Malaysia pada 23 Januari lalu ketika kerajaan PH masih lagi memerintah.

“Jika Majlis Presiden PH mendesak Sidang Khas Parlimen pada waktu itu, mungkin kes COVID-19 tidak seserius ini, tapi malangnya semua membisu ketika itu,” tambahnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Rosni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah yang tersenarai sebagai tiga doktor terbaik di dunia dalam mendepani wabak COVID-19 oleh agensi berita China Global TV Network (CGTN) yang berpengkalan di Beijing, China.

Jelasnya, Dr. Noor Hisham selayaknya mendapat pengiktirafan itu kerana di mata seluruh rakyat Malaysia, beliau insan yang cukup berwibawa dan diyakini.



“Tahniah juga kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya barisan ‘frontliner’ yang berjaya membentuk satu pasukan mantap hasil koordinasi serta perancangan tersusun.

“Rentetannya, semalam buat pertama kali negara merekodkan kes baharu COVID-19 terendah iaitu 85 kes. Rekod itu adalah simbiosis kepada semua petanda positif Malaysia melawan dalam COVID-19,” katanya lagi.

Dilaporkan juga, Malaysia antara negara tertinggi di dunia yang mencatatkan kadar kesembuhan lebih 52% manakala kes kematian pula cuma 1.6%, juga antara terendah di dunia. – UMNO ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button