Ratusan tebuan serang tentera Israel
Oleh – Syeikh Baran
Kira-kira 12 askar Israel cedera akibat disengat kawanan tebuan dalam kejadian di selatan Genting Gaza pada Jumaat minggu lalu, lapor akhbar The Times of Israel.
Pusat Perubatan Sheba di Tel Aviv memaklumkan, seramai 10 daripada mereka dibawa ke fasiliti tersebut untuk menerima rawatan dan seorang dirawat di unit jagaan rapi (ICU).
Insiden yang digelar ‘amukan tebuan’ itu berlaku ketika operasi melibatkan Briged Divisyen Selatan di Gaza.
Media tempatan melaporkan, sebuah kereta kebal telah merempuh sarang tebuan hingga menyebabkan sebilangan anggota tentera disengat oleh beratus-ratus tebuan.
Beberapa doktor di hospital tersebut berkata, mereka tidak pernah berdepan kes seperti itu.
“Unit ICU, anestesia, rawatan toksikologi dan pakar mata dikerahkan untuk merawat kumpulan mangsa yang cedera,” demikian menurut media tempatan. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE