Pejabat Pos Medan Tuanku jadi ‘mini market’

Oleh – Syeikh Baran


Pejabat Pos Medan Tuanku jadi ‘mini market’
PEJABAT Pos Medan Tuanku, Kuala Lumpur (kiri) dan Pejabat Pos Kampung Melayu, Johor Bahru (kanan) menjadi bualan dalam kalangan pengguna media sosial selepas turut menyediakan jualan runcit kepada pelanggan.

Pejabat Pos Medan Tuanku, Kuala Lumpur menjadi perhatian ramai apabila menyediakan kedai serbaneka yang menjual makanan ringan dan barangan keperluan lain untuk para pelanggan mereka.

Premis itu menjadi tular di media sosial kerana menawarkan perkhidmatan berbeza berbanding pejabat pos sedia ada.



Difahamkan, kedai serbaneka itu dikenali sebagai Pos Shop.

Menerusi perkongsian video di TikTok Pos Malaysia Berhad, Pos Shop berkonsepkan ‘kedai dalam kedai’ yang menyediakan kemudahan untuk pelanggannya membeli barangan keperluan.

“Selepas berurusan di kaunter, singgah sebentar di Pos Shop,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.

Sementara itu, pengguna X @WakDin_JB berkongsi suasana sebuah pejabat pos di Johor Bahru yang turut menyediakan jualan runcit di premis berkenaan.



“Pejabat Pos Kampung Melayu sudah jadi kedai serbaneka,” katanya.

Menerusi ruangan komen, akaun rasmi Lotus’ Malaysia menawarkan cadangan untuk bergabung dengan pihak Pos Malaysia dalam memeriahkan jualan di kedai serbaneka.

“Kalau Bang Lo (Lotus’s Malaysia) tumpang jual ayam, daging, sayur, telur, beras dan minyak masak, rasanya mengganggu tak?,” seloroh pengendali akaun tersebut.

Dalam pada itu, ramai yang memberi reaksi positif kepada cadangan terbabit dengan rata-rata mereka meminta Pos Malaysia mempertimbangkan hal tersebut bagi melebarkan perniagaan Pos Shop.



Pos Malaysia membuka kedai serbaneka pertamanya, Pos Shop, di Pejabat Pos Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada Mei 2023.

Pos Malaysia dalam kenyataannya berkata, kedai itu merupakan sebahagian daripada perjalanan transformasi strategik syarikatnya dengan menawarkan kemudahan runcit kepada pelanggan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button