Lima cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan babitkan tiga kereta dan sebuah motosikal
Oleh – Syeikh Baran
Lima individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, malam tadi.
Bagaimanapun difahamkan, pemilik sebuah daripada kenderaan terbabit tiada di lokasi sebaik kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fairol Mahazi Malek, berkata terdahulu, seramai 10 anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 11.35 malam.
Sebaik tiba, katanya, pihaknya mendapati tiga mangsa parah manakala dua lagi cedera pada badan dan seorang lagi mangsa tiada di lokasi.
“Pasukan penyelamat mengeluarkan pemandu wanita yang tersepit menggunakan peralatan khas. Kami mengambil masa kira-kira 15 minit berikutan keadaan kenderaannya yang rosak teruk,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Fairol Mahazi berkata, mangsa lain yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, kerja pembersihan tumpahan minyak turut dilakukan dengan menggunakan pancutan salur bantu mula dan operasi tamat pada jam 12.22 tengah malam.
Kemalangan terbabit turut tular di media sosial menerusi video yang dirakam menerusi kamera papan pemuka.
Video berkenaan memaparkan sebuah kereta dari arah Georgetown terbabas memasuki laluan bertentangan dari arah Bayan Lepas sebelum berlaku pelanggaran dengan kenderaan lain.
Sumber – BERITA HARIAN